NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kemaman cadang mekanisme bantu ekonomi rakyat




KUALA LUMPUR
: Kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari 6 kepada 8 peratus bermula awal Mac dilihat satu kadar sangat membebankan dan peningkatan tersebut tidak sesuai ketika rakyat berhadapan pertambahan kos sara hidup.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) sebaliknya menggesa kerajaan merangka mekanisma khususnya antaranya syarikat yang mendapat keuntungan dan institusi kewangan di negara untuk bersama memainkan peranan bagi membantu rakyat.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh menafikan realiti semasa masalah ekonomi yang sedang melanda, selain isu polisi ekonomi, struktur ekonomi fiskal, sistem percukaian dan banyak lagi, di mana sepatutnya menjadi pertimbangan Putrajaya pada hari ini.

“Kerajaan memang perlu menambah sumber dana kewangan negara kerana ia merupakan asas unuk membangunkan ekonomi keperluan dan sosial rakyat, tetapi biarlah penambahan hasil negara ini tidak memberi tekanan kepada rakyat awam yang perit kehidupan mereka.

“Kerajaan juga hendaklah mempunyai mekanisma agar syarikat dan bank bertanggungjawab membantu rakyat, bukan sahaja bercakap mengenai keuntungan setiap akhir tahun kewangan,” katanya pada Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata seramai 222 Ahli Dewan Rakyat dipilih menjadi tempat bagi rakyat mengadu nasib dan masalah pelbagai peringkat di mana kini sedang berhadapan dengan perit getirnya suasana cabaran ekonomi.

Menurutnya, Kerajaan Madani hari ini perlu menerokai pendekatan ‘tidak berparti dan bekerjasama antara parti’ untuk menyelesaikan masalah bukan sahaja ekonomi rakyat, malah prinsip Federalisma dalam Perlembagaan Persekutuan tidak diabaikan.

Katanya, kaedah sama digunakan oleh negara-negara maju yang mengamalkan sistem demokrasi ketika berhadapan dengan suasana getir hingga menyukarkan kehidupan rakyat meskipun kerajaan masih beranggapan mereka tahu dan mampu selesai masalah.

“Tetapi ketika berdepan saat kritikal seperti ini, maka pendekatan dan inisiatif non-partisan dan bi-partisan wajar diterokai, sebagaimana dalam keadaan tertentu diamalkan di negara maju ketika mereka berdepan dengan suasana yang getir seperti hari ini.

“Sudah tiba masanya, kita meninggalkan budaya politik diskriminasi akibat warna parti politik dan pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam sesuatu proses demokrasi dan ini satu rupa bentuk reform yang semestinya berlaku dalam negeri dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2024



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo