NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kemajuan projek ECRL di 4 negeri capai lebih 60%

Projek ECRL dari Selangor ke Kelantan berjalan lancar setakat ini, menurut Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL). (Gambar Bernama)


KOTA BHARU: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai kemajuan sebanyak 62.40% bagi keseluruhan jajaran ECRL yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Darwis Abdul Razak berkata kemajuan berkenaan setakat Februari lepas dan pembinaan projek ini berjalan lancar.

Beliau berkata untuk kerja-kerja pembinaan ECRL di Kelantan telah mencapai kemajuan sebanyak 75.8% setakat ini.

“Jajaran ECRL sepanjang 43 kilometer (km) di Kelantan melibatkan pembinaan dua buah stesen iaitu Stesen Kota Bharu yang ditetapkan sebagai stesen penumpang manakala Stesen Pasir Puteh pula untuk penumpang dan kargo.

“Bagi jajaran dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor ia dijangka siap mengikut jadual iaitu pada Dis 2026 dan akan mula beroperasi pada Jan 2027 manakala jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijadual siap pada Dis 2027,” katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa ECRL di sini, malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Izani Husin.

Darwis berkata jajaran ECRL di Kelantan yang mencapai 43 km menunjukkan kemajuan memberangsangkan termasuk daripada segi proses pengambilan tanah yang telah pun selesai sepenuhnya.

Beliau berkata pembinaan elevated structure bridge berjalan lancar dengan menyaksikan kemajuan sebanyak 35% daripada jumlah keseluruhan jajaran ECRL.

“Baru-baru ini, kita telah berjaya menembusi tiga terowong, menjadikan jumlah terowong yang ditembusi sebanyak 30 terowong daripada jumlah keseluruhan sebanyak 41.

“Saya percaya pembinaan ECRL untuk jajaran Kota Bharu ke Gombak berada di landasan yang tepat untuk siap sepenuhnya pada Dis 2026,” katanya.

Darwis berkata pembinaan track laying daripada Kuantan, Pahang ke Dungun, Terengganu sepanjang 92.2 km telah siap sepenuhnya.

Mengulas mengenai caj perkhidmatan yang bakal dikenakan kepada penumpang apabila ECRL siap kelak, Darwis berkata perkara berkenaan belum dibincangkan.

Beliau berkata pengumuman caj perkhidmatan ECRL akan diputuskan oleh kerajaan.

Projek ECRL sepanjang 665 km yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM50.27 bilion itu akan menghubungkan Kota Bharu dengan Terminal Bersepadu Gombak yang hanya mengambil masa empat jam berbanding tujuh jam dengan menggunakan jalan raya atau lebih 12 jam semasa musim perayaan.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo