NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kebebasan bersuara: Kerajaan Madani yang gagal




DUNIA
 masih lagi mampu melihat jenayah genosid mengambil tempat, khasnya Barat yang mendukung negara haram Israel. Bantuan kemanusiaan juga masih dihalang rejim settler-colonialists tersebut dan kita juga dikatakan sedang menyaksikan kemusnahan kepada sistem makanan itu sendiri di Gaza.

Semua ini ketika dunia masih dikejutkan dengan mendiang Aaron Bushnell, pegawai Tentera Udara Amerika Syarikat yang memilih untuk menyatakan bantahannya, untuk tidak lagi bersekongkol terhadap genosid yang ditaja negaranya. Beliau membakar dirinya secara ‘live streaming’ setelah melaungkan ‘Free Palestine’, depan kedutaan Israel di Washington DC. 

Jurutera USAF DevOps yang baru berusia 25 tahun itu dilaporkan meninggal dunia disebabkan kecederaan yang dialaminya itu. Namun Barat, sepertinya masih mahu menggelapkan peristiwa tersebut daripada Gaza dan pembebasan Palestin.

Andalou Agency melaporkan beberapa media Amerika Syarikat berpengaruh memandang sepi motif sebenar pegawai tentera itu memilih untuk melakukan ‘baptis api’ demi bersolidariti dengan warga Gaza dan Palestin. 

Arabi Post pula menyiarkan gambar Newsweek, The Washington Post, CNN dan beberapa agensi berita Barat memilih untuk tidak menyiarkan sebab-musabab pegawai tentera AS itu berbuat demikian, walaupun mendiang menyatakan dengan jelas dalam video yang dikongsinya. 

Media Arab itu juga mempersoalkan motif blackout yang dibuat. Laman The New York Times yang melaporkan hal yang sama juga didedahkan seorang penulis Arab, Samar Jarrah di X, tidak langsung menyebut Palestin atau Gaza.

Satu raptai bersolidariti dengan Aaron Bushnell juga mengkritik kebisuan yang sedang dipamerkan oleh pegawai-pegawai atasan tentera udara khasnya pegawai mendiang sendiri.

Baru-baru ini pula seorang Ahli Parlimen Sweden, Abir Al-Sahlani memilih untuk memprotes dengan berdiam diri, sambil menekap mulutnya apabila tiba gilirannya untuk berucap. Katanya selepas diberi kata putus untuk berucap atau meninggalkan podium, dengan nada kecewa dan sinis mengatakan bahawa tiada apa lagi yang boleh dikatakan mengenai Gaza. 

Tiada lagi undang-undang yang belum dilanggar, tiada lagi pertolongan yang boleh dipinta, melihat kepada keganasan yang sedang berlaku. Kemunafikan dunia sangat jelas kini. Kolektif kemanusiaan kita semua telah gagal. Hak asasi manusia sememangnya melihat kepada warna kulit. Dan semakin gelap kulit anda, hakikatnya semakin kurang hak asasi yang akan diberikan kepada anda!

Kenyataan ini antara lain mengiktiraf kejayaan kekangan media aparat-aparat Zionis di seluruh dunia. Tentu juga kita sedar ‘malapetaka’ yang menimpa mereka-mereka yang cuba melawan arus.

Namun agaknya ‘kezaliman’ yang melanda warga Palestin dikatakan semakin dirasai kini di Malaysia. Beberapa bulan kebelakangan ini, Kerajaan Madani dikritik kawan dan lawan kerana kekangan media termasuk di media sosial yang semakin kerap dan berleluasa. 

Disember lepas, Reuters melaporkan Meta, pengendali Facebook dan aplikasi popular TikTok telah menyekat record number posts media sosial di Malaysia, pada enam bulan pertama tahun 2023. Sekitar bulan Januari dan Jun tahun lepas, Meta dikatakan telah menyekat 3,100 pages dan posts di Facebook dan Instagram di Malaysia kerana dikatakan telah melanggar undang-undang tempatan.

Ianya naik enam kali ganda pada jangkamasa yang sama tahun sebelumnya. Malah tertinggi sejak syarikat tersebut mula sekatan konten di Malaysia bermula seawal 2017.

TikTok pula sebelum itu melaporkan telah menerima 340 permintaan daripada kerajaan Malaysia untuk buang atau sekat konten sekitar Januari sehingga Jun 2023 dan ianya membabitkan 890 paparan dan akaun. Tertinggi dalam masa enam bulan sejak syarikat tersebut mula melaporkan permintaan sekatan dari Malaysia bermula sejak 2019.

Tentu kita masih ingat akan laporan berkenaan kejatuhan Ringgit yang dikatakan terburuk dalam tempoh 26 tahun kemudiannya disunting kepada paparan self denial kerajaan. Ahli Parlimen Putrajaya juga membangkitkan hal ini di sesi Persidangan Dewan Rakyat, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga baru-baru ini setelah video TikTok beliau berkenaan isu kejatuhan Ringgit juga disekat.

Dengan sinis bertanyakan kerajaan Madani setelah kekangan terhadap 3R, adakah kerajaan kini mahu memperkenalkan larangan ‘R’ keempat yakni Ringgit sambil disambut gelak ketawa ahli dewan.

Ahli Parlimen Muar pula, pada 27 Februari lepas, mendakwa sekatan yang dibuat Kerajaan Madani sebenarnya telah meningkat 40 kali ganda walaupun kerajaan ini suatu ketika dulu ketika menjadi pembangkang memperjuangkan hak kebebasan bersuara, kebebasan media. Tegas beliau, adakah ini taktik baru kerajaan apabila mereka tidak boleh jawab isu matawang lemah, kenaikan kos sara hidup, rasuah berleluasa, mereka tutup mulut rakyat, tutup mata rakyat dan ugut mereka?!

Terbaru Tan Sri Rafidah Aziz kesal setelah paparan Facebook beliau berkenaan pesara dikeluarkan IJN (Institut Jantung Negara) disekat sambil menegaskan tidak mahu membuang masa merayu kepada pihak kerajaan terhadap sekatan tersebut. Tokoh wartawan Tan Sri Johan Jaafar menyifatkan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu mengecewakan dan bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara di negara ini. 

SKMM juga dikritik kerana gagal memastikan proses pengawasan yang lebih telus bagi memastikan eko-sistem untuk media yang bebas dan adil.

Beliau juga menggesa Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan SKMM memohon maaf secara terbuka kepada mantan menteri kanan tersebut.

Kekangan media yang dibuat Kerajaan Malaysia kini menurut Reuters adalah jauh lebih tinggi daripada mana-mana kerajaan di Asia Tenggara walaupun Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dikatakan banyak berjanji untuk melakukan seribu satu reform sebagai asas perjuangannya. 

Mungkin kegagalan beliau dan kerajaan Madani untuk mengotakan janji merupakan punca kepada BERSIH yang mendukung kuat agenda tersebut memilih untuk berdemo di depan Parlimen pada minggu lepas.

Lawyers for Liberty (LFL) pula, satu lagi jaringan NGO yang mendokong kuat Pakatan Harapan baru-baru ini menyatakan, “We cannot ignore the irony and betrayal that Harapan, whose political success can be largely attributed to the extensive media coverage and guerilla journalism on the 1MDB scandal, now when in power, seeks to solidify government control over the press and be arbiter of what can be reported in the news or discussed by the public online.”

Apa nak dikata? Nasi sudah jadi bubur!

HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM). Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’. – HARAKAHDAILY 5/3/2024




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo