NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kabinet lulus cadangan pinda perlembagaan isu kanak-kanak lahir di luar negara

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berharap pindaan itu dapat dibentang di Parlimen tahun ini.

Ibu muda Malaysia dan wakil Family Frontiers di luar Jabatan Pendaftaran Negara pada Jun 2022, menggesa anak mereka yang lahir di luar negara diberikan hak warganegara.

PUTRAJAYA: Kabinet meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak warganegara untuk anak dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia berkahwin dengan warga asing.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang membentangkan cadangan itu berkata selepas ini pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak antaranya pakar dalam aspek tertentu, masyarakat dan Ahli Parlimen.

Beliau berharap pindaan untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat-kuasa undang-undang dapat dibentangkan di Parlimen tahun ini.

“Dari segi Parlimen, kita kena tunggu ‘que’ sebab banyak pindaan kementerian lain juga, kita kena daftar dan tunggu tarikh dari setiausaha (Dewan Rakyat).

“Itu harapan kita semua supaya dapat bentang tahun ini,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pada 18 Feb tahun lalu, Kabinet bersetuju memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Susulan itu, satu kertas pindaan dirangka oleh Jabatan Peguam Negara bagi kelulusan Jemaah Menteri sebelum dibentang di Dewan Rakyat.

Pada 5 Ogos 2022, dalam keputusan berbelah bahagi, Mahkamah Rayuan memutuskan anak yang dilahirkan ibu rakyat Malaysia di luar negara boleh dinafikan kerakyatan berdasarkan kuat kuasa undang-undang.

Pengerusi panel itu, Kamaludin Md Said dan Azizah Nawawi bersetuju dengan perkara itu manakala S Nantha Balan membantah.

Mereka yang menyokong berpendapat istilah “bapa” dalam Jadual Kedua Bahagian 11 Perlembagaan Persekutuan bermakna bapa kandung dan tidak boleh diperluas kepada ibu atau ibu bapa.

Kamaludin dan Azizah, yang menyatakan mereka mengikuti prinsip undang-undang dalam keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2021, berkata ia terpulang kepada Parlimen, bukannya mahkamah untuk meminda Perlembagaan.

Sumber asal | FMT


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo