NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan ketepikan bekas pemimpin Bersatu, Lee beritahu PKR

Dr Lee Boon Chye berkata bekas naib presiden MCA Chua Jui Meng membantu mengukuhkan PKR di Johor manakala Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pernah menjadi pemimpin pemuda Umno.


PETALING JAYA: Seorang bekas Ahli parlimen PKR berkata parti itu harus mengekalkan dasar pintu terbuka untuk menerima pemimpin dari Bersatu yang diuar-uarkan mahu menyertainya, mengambil kira kesan daripada penerimaan bekas ahli pesaingnya sebelum ini.

Dr Lee Boon Chye, bekas wakil rakyat Gopeng berkata ramai pemimpin dari parti lain menyertai PKR memberi sumbangan besar dengan memperkasakannya menggunakan latar belakang politik yang pelbagai.

Ketua PKR Gopeng itu memberi contoh bekas naib presiden MCA Chua Jui Meng menyertai PKR pada 2009 dan membantu parti itu membina kekuatannya di Johor, manakala setiausaha agung parti itu Saifuddin Nasution Ismail pernah menjadi pemimpin pemuda Umno.

Bekas timbalan menteri kesihatan itu turut berkata PKR sentiasa memberi peluang kedua kepada mana-mana pemimpin sekiranya mereka boleh menerima agenda reformasi.

“Kami adalah parti yang mempunyai dasar pintu terbuka, yang sepatutnya dikekalkan,” katanya kepada FMT namun menegaskan tiada siapa boleh berharap menjadi payung terjun semasa pilihan raya.

Pada Selasa, FMT memetik sumber berkata bahawa ratusan ahli akar umbi Bersatu didakwa mahu menyertai PKR atas pelbagai sebab, termasuk ketidakupayaan untuk meningkatkan kerjaya politik mereka dalam parti berasaskan Melayu itu.

Sumber itu berkata, ahli Bersatu juga mahu membantu sekutu tertentu dalam PKR meningkatkan kempen mereka dalam pemilihan PKR, yang dijangka diadakan pada akhir tahun ini atau awal 2025.

Sehari selepas itu, Saifuddin berkata individu berprofil tinggi daripada parti pembangkang, sama ada pemimpin semasa atau bekas pemimpin, telah mengemukakan permohonan mereka untuk menyertai PKR.

Terbaru, bekas ahli Bersatu yang menyertai PKR baru-baru ini termasuk bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Faiz Na’aman dan bekas Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim pula berpendapat PKR perlu berhati-hati dalam menerima “pemimpin besar” yang berpaling tadah daripada parti lain, dengan berkata parti pimpinan Anwar Ibrahim mesti melindungi imejnya yang bersih.

Hassan mengalu-alukan ahli dan pemimpin parti lain menyertai PKR dengan syarat mereka jujur dalam menerima prinsip dan cita-cita komponen Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Adun Seri Setia Fahmi Ngah berkata keputusan bekas pemimpin Bersatu menyertai PKR menunjukkan keyakinan terhadap kepimpinan parti selepas setahun kerajaan perpaduan mentadbir.

Menurut exco Selangor itu, keputusan itu membuktikan mereka tidak yakin dengan pimpinan Bersatu diketuai Muhyiddin Yassin.

“PKR sentiasa terbuka kepada mereka yang menyertai politik untuk membawa perubahan.

“Sebaik menyertai PKR, harus patuh disiplin parti dan prinsip Pakatan Harapan (PH),” katanya.


Sumber | FMT Malaysia 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo