NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isytihar 7 kerusi kosong, Muhyiddin cabar Anwar



KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan wakil rakyat gabungan itu yang menyokong kerajaan mengisytiharkan kekosongan kerusi bagi memberi laluan kepada PRK.

Ia selepas enam Ahli Parlimen dan seorang Adun PN beralih pendirian dengan menyatakan sokongan kepada pihak lawan.

Muhyiddin mahu mandat kepada rakyat dikembalikan menerusi PRK di kerusi berkenaan dan mengukur sejauh mana rakyat menerima pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pimpinan Anwar.

“Jika berani, isytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN Selangor kosong. Kita kembalikan mandat kepada rakyat dan biarlah rakyat membuat perhitungan.

“Saya bukan hendak mendabik dada, tetapi saya yakin, insya-Allah PN akan menang lebih besar di kerusi ini jika PRK diadakan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Konvensyen Wakil Rakyat PN 2024.

Muhyiddin turut mendakwa, kerajaan PH-BN pimpinan Anwar “terdesak dan cuak” kerana menyedari kedudukan mereka tidak kukuh serta semakin hilang keyakinan rakyat kerana gagal menunaikan janji ketika menjadi pembangkang.

“Rakyat juga telah hilang keyakinan terhadap mereka, kerana itu mereka cuba melemahkan kedudukan PN dengan menawarkan pelbagai habuan kepada wakil rakyat kita untuk menyokong perdana menteri.

“Saya nak beritahu perdana menteri. Buatlah apa pun. Tindakan itu tidak akan mengubah tanggapan negatif rakyat kepada kerajaan pimpinan kamu yang gagal mentadbir negara dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, “sandiwara” kerajaan gagal menunaikan janji selepas menjadi pemerintah akan memakan diri dan berdepan hukuman daripada rakyat.

“Saya percaya tindakan itu (kegagalan kerajaan menunaikan janji) akan ‘backfire’ kepada kerajaan PH-BN. Rakyat tahu sandiwara kamu. Rakyat tahu tujuan jahat kamu. Rakyat benci dengan perbuatan kamu.

“Jika kuasa kerajaan tidak digunakan untuk membela nasib rakyat, tetapi digunakan dengan cara yang salah untuk mengekalkan kuasa, rakyat akan tolak kerajaan dalam pilihan raya,” katanya.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Terbaru pada 6 Mac lalu Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari mengisyharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo