Kuala Lumpur: Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh mempertahankan pendiriannya agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memecat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam barisan Kabinet selepas 'bak kut teh' diiktiraf sebagai makanan warisan negara.
Beliau berkata, ini disebabkan hampir semua 'bak kut teh' yang dijual mempunyai unsur daging babi.
"Iya memang 'bak kut teh' boleh ditukar menjadi daging yang halal mengikut kamu, tetapi adakah kamu tahu berapa banyak 'bak kut teh' yang dikatakan halal dan dijual di pasaran? Jawapannya hampir semua 'bak kut teh' yang dijual adalah mempunyai unsur daging babi.
"Adakah kamu memberi maksud apabila kami bercakap mengenai perkara yang sensitif di hati orang Melayu khususnya dikatakan ekstremis?," katanya menerusi di Facebook, hari ini.
Semalam, Tiong membidas Dr Muhamad Akmal dengan mengingatkannya supaya tidak menjadi pembangkang atau kumpulan ekstremis.
Beliau juga menyarankan agar Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu merujuk kepada kamus sekiranya tidak pasti mengenai definisi perkataan itu, susulan isu 'bak kut teh' yang dibangkitkan.
Sebelum itu, Dr Muhamad Akmal mendesak Perdana Menteri memecat Tiong berikutan beberapa isu kontroversi baru-baru ini termasuk 'bak kut teh' yang dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara dan penurunan pangkat Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar kepada Timbalan Ketua Pengarah.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal turut mempersoalkan kerelevanan memasukkan makanan yang kebanyakan penyediaannya mempunyai unsur asas babi dalam senarai makanan warisan negara.
"Ini bukan soal ada sembilan lagi makanan yang lain juga dimasukkan di dalam senarai makanan warisan negara.
"Tetapi ini adalah soal apakah relevannya untuk memasukkan makanan yang kebanyakan penyediaannya mempunyai unsur asas babi yang kita tahu sangat sensitif di kalangan majoriti penduduk Malaysia terutama umat Islam ke dalam senarai warisan negara?
"Apakah kamu tahu, senarai yang dimasukkan di dalam warta itu adalah 'bak kut teh', bukannya 'seafood kut teh', 'ayam kut teh' dan 'bak' itu bermaksud daging yang secara khususnya untuk daging babi di dalam sebutan hokkien," katanya.
No comments
Post a Comment