WAN Saiful Wah Jan. FOTO Arkib NSTP
WAN Saiful Wah Jan. FOTO Arkib NSTP

Seremban: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh sehingga hujung minggu ini kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk tampil ke SPRM bagi membuat laporan.

Ia berhubung pendedahan beliau di Dewan Rakyat mengenai tawaran habuan untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sekiranya Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak berbuat demikian, pihaknya akan mengambil satu tindakan terhadapnya namun tidak mendedahkan tindakan itu.

"Setakat sekarang yang saya rujuk kepada Ibu Pejabat SPRM dan pegawai saya, beliau (Wan Saiful) belum lagi datang ke SPRM untuk buat aduan atau laporan seperti mana yang beliau timbulkan di Dewan Rakyat.

"Jadi kita akan panggil beliau dalam tempoh minggu hadapan sekiranya dalam minggu ini beliau masih belum datang ke SPRM untuk buat laporan.

"Saya akan bagi arahan kepada pegawai saya untuk satu tindakan," katanya sidang media selepas Bicara Eksekutif Anti Rasuah Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Negeri Sembilan ke-15, di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Azam berkata, seperti yang dinyatakan sebelum ini, Ahli Parlimen itu sepatutnya membuat laporan ke SPRM mengikut Seksyen 25(1) dan bukannya menunggu SPRM untuk memanggilnya.

"Ini bukan masalah kami kena pergi cari beliau. Beliaulah kena datang ke pejabat SPRM atau mana-mana balai polis terdekat.

"Tidak akanlah saya nak pergi jumpa beliau pula atau nak ambil beliau di rumah dan nak bawanya ke pejabat. Begitulah kaedah dan analoginya," katanya.

Sebelum ini Wan Saiful ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat mendakwa diugut supaya menyatakan sokongan kepada Anwar.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau turut mendakwa ditawarkan habuan sebagai balasan antaranya peruntukan wakil rakyat bernilai RM1.7 juta serta pengguguran pertuduhan kes di mahkamah.

Pendedahan oleh Wan Saiful mencetus kekecohan di Dewan Rakyat terutama selepas menggunakan label 'korup' yang merujuk kepada Perdana Menteri, sebelum Yang Dipertua, Tan Sri Johari Abdul, meminta ia ditarik balik.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, setakat ini tiada mana-mana laporan terhadap Adun Negeri Sembilan yang didakwa terpalit dengan isu penyelewengan atau rasuah.