NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Daftar PADU rendah petanda rakyat tak percaya Rafizi sebagai menteri – Wan Saiful



KUALA LUMPUR – Kadar pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang rendah melambangkan betapa rakyat tidak percaya dengan Rafizi Ramli sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap inisiatif tersebut.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan mendakwa, sentimen rakyat boleh difahami kerana Rafizi bukan sahaja kerap bercakap dengan intonasi yang angkuh untuk menutup kegagalannya tetapi juga dikenali sebagai seorang yang berniaga data melalui Invoke.

“Maka sudah pasti wujud persoalan mengenai adakah data PADU akan disalahguna untuk tujuan lain.

“Sekarang ini memang sudah banyak pihak bertanya adakah Kementerian Ekonomi membayar Invoke untuk apa-apa perkhidmatan.

“Secara prinsipnya usaha mewujudkan satu pengkalan data berintegrasi seperti PADU adalah diperlukan jika kita mahu mereformasi sistem kebajikan negara kita. Malangnya kerajaan ini dilihat tidak kompeten dan gagal meyakinkan rakyat terhadap inisiatif yang penting ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Wan Saiful yang juga bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, baginya, langkah yang diambil kerajaan sumbang kerana gagal memberi penerangan apakah visi penuh reformasi kebajikan yang mahu diusahakan.

Malah katanya, langkah kerajaan hari ini hanya bersifat adhoc, sedangkan negara perlukan usaha holistik memperbaiki sistem bantuan kebajikan agar semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama boleh mengecapi kemakmuran bersama.

“Kita perlu memastikan sistem kebajikan kita mencapai sekurang-kurangnya dua matlamat. Pertama, tidak ada sesiapa yang tertinggal dan tidak dibantu. Kedua, bantuan yang diberi mestilah tidak mewujudkan kebergantungan dalam kalangan penerima, sebaliknya mestilah menggalakkan penerima untuk berdikari.

“Malaysia boleh mengkaji pengalaman beberapa negara menjalankan reformasi sistem kebajikan. Salah satu contoh ialah usaha yang dilakukan oleh Iain Duncan Smith, bekas Ketua Parti Konservatif Britain dan bekas menteri yang bertanggungjawab ke atas pekerjaan, pencen, dan bantuan kebajikan United Kingdom,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Saiful mencadangkan agar kerajaan membentangkan kepada Parlimen satu kertas putih reformasi kebajikan, supaya wakil-wakil rakyat boleh membahaskan mekanisme menyeluruh reformasi subsidi yang perlu dijalankan Malaysia.

Jelasnya, pembinaan pangkalan data seperti PADU boleh menjadi satu komponen kertas putih, malah, ia juga wajar menjelaskan bagaimana data-data yang dipegang oleh pelbagai agensi kerajaan boleh disatukan secara efektif.

“Tetapi kertas putih ini mestilah membicarakan reformasi kebajikan lebih menyeluruh, bukan pembinaan pangkalan data sahaja dan matlamat akhir reformasi kebajikan Malaysia mestilah untuk memastikan wujudnya kemakmuran bersama dalam negara kita.

“Cuma saya harap jika kertas putih ini mahu dirangka, berilah tanggungjawab itu kepada menteri selain Rafizi Ramli…kerana ini adalah topik besar yang memerlukan seorang tokoh yang tidak angkuh menolak pandangan orang lain serta mestilah juga berkemampuan menarik “buy in” semua pihak,” tambahnya. – MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo