NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Budaya pelajar hisap vape membimbangkan, KPM teliti peraturan khas

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan. – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti cadangan mewujudkan peraturan khas bagi membendung trend vape dalam kalangan pelajar sekolah yang didakwa semakin meningkat sekali gus membimbangkan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata KPM akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan trend pelajar bebas membeli produk vape dapat dikawal dan ditangani.

“Insya-Allah kita akan bersama KKM untuk melihat cadangan (peraturan khas) mengenai peningkatan trend pelajar menggunakan vape termasuk rokok.

“Ini antara komitmen KPM bagi memastikan perkara ini (peningkatan vape) dapat ditangani dan dibendung malah inisiatif sudah dilaksanakan kementerian bersama pelbagai agensi termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Di sekolah memang sudah ada peraturan dan panduan khas mengenai perkara itu (vape, rokok dan dadah). Malah mandat sudah diberi pada guru di sekolah bagi mengekang penularan trend vape dan merokok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail (SSI), hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.

Pada 5 Mac lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dilaporkan mendedahkan kira-kira 15 pelajar perempuan di setiap sekolah didapati menghisap vape dengan tiga hingga empat daripadanya mengalami ketagihan nikotin.

Dalam pada itu, Azman berkata, KPM juga turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPM dan AADK bagi memastikan peningkatan trend vape dalam kalangan pelajar dapat ditangani.

“Kerjasama dengan PDRM, KKM dan AADK sebenarnya sudah lama berjalan dan kita komited untuk pastikan ia berterusan.

“Isu disiplin babit semua pihak bukan sahaja guru serta pengurusan sekolah malah ibu bapa dan masyarakat dalam beri kesedaran terhadap bahaya rokok dan vape.

“Proses pendidikan bagi menangani isu disiplin sebegini sudah lama dilaksanakan KPM dan kita nampak perkembangan positif kerana dapat komitmen jitu ibu bapa yang tak mahu anak terjebak dengan rokok, vape dan dadah,” katanya.

Sumber | Buletin TV3 


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo