Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mengadakan perbincangan bersama Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Ketua Whip Pembangkang Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee semalam. |
PETALING JAYA: Sesi perbincangan antara kerajaan dan pembangkang diadakan semalam diharap mampu membuka jalan kepada memorandum persefahaman (MoU) rentas parti, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Bersih berkata, MoU itu boleh meliputi 10 reformasi pilihan raya dan institusi sebagaimana dikemukakan gabungan tersebut kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bulan lalu.
Antaranya termasuk reformasi lantikan ahli dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menyah klasifikasi laporan pembaikan sistem dan undang-undang pilihan raya, reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya (EOA) dan reformasi pendanaan politik.
“Seterusnya, reformasi persempadanan semula kawasan pilihan raya, pemisahan bidang kuasa peguam negara dan pendakwa raya, moratorium kepada pemberian keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) oleh peguam negara dalam kes rasuah, memperkasakan institusi Parlimen melalui Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen dan Meminda Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, dan penggubalan Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA) demi kelangsungan kestabilan politik serta penggubalan Akta Peruntukan Kawasan,” katanya dalam kenyataan.
Bersih berharap pertemuan itu dapat mencapai natijah “baik dan segera” dalam penyelesaian isu peruntukan pembangunan kawasan (CDF) dalam kalangan wakil rakyat pembangkang yang dibangkitkan sekian lama.
“Peruntukan ini juga harus segera digubal menjadi satu undang-undang agar formula peruntukan, mekanisme agihan dan perbelanjaan serta keperluan pengauditan untuk ketelusan penggunaan dapat dirumuskan bagi mengelakkan salah guna peruntukan tersebut.
“Ini adalah satu parameter yang penting yang perlu dibincangkan antara pembangkang dan kerajaan persekutuan,” katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menerusi hantaran di media sosial mengesahkan perbincangan diadakan bersama Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Ketua Whip Pembangkang Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee di pejabatnya.
Fadillah sebelum ini diberi tanggungjawab berunding dengan pembangkang berhubung peruntukan wakil rakyat mereka, namun Perikatan Nasional (PN) menghentikan rundingan November tahun lalu kerana mendakwa kerajaan meminta jaminan tertentu.
Pada 13 Sept 2021, kerajaan pusat dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.
Ketika itu PH dalam blok pembangkang dengan perjanjian dimeterai ketika Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment