NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bersih bingung, perhimpunan aman disertai 100 lebih orang disiasat polis

Bulan lepas, Bersih menganjurkan perhimpunan aman untuk menuntut reformasi politik, disertai kira-kira 100 orang yang berkumpul di luar bangunan Parlimen.


KUALA LUMPUR: Kumpulan reformasi pilihan raya Bersih bingung mengapa pihaknya disiasat oleh polis berhubung dua perhimpunan aman, termasuk yang diadakan di luar bangunan Parlimen.

Pengerusinya, Faisal Abdul Aziz mendakwa timbul kekeliruan di pihak polis berhubung penganjuran perhimpunan sedemikian.

“Waktu kami hantar notis kepada polis tentang demonstrasi (di luar) Parlimen, tidak pernah berbangkit tentang isu (serah notis) lambat atau awal. (Malah) polis terima (notis) dengan baik,” katanya.

Bulan lepas, Bersih menganjurkan perhimpunan aman untuk menuntut reformasi politik, disertai kira-kira 100 orang yang berkumpul di luar bangunan Parlimen.

Dua hari sebelum perhimpunan itu diadakan, polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai agar tidak menyertainya dengan berkata, penganjur tidak memfailkan notis lima hari seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

Faisal menyerahkan notis itu di IPD Dang Wangi sehari selepas kenyataan polis KL.

Bagaimanapun, selepas perhimpunan itu, polis berkata, mereka sedang menyiasat kumpulan itu kerana gagal memberikan notis sekurang-kurangnya lima hari lebih awal kepada pihak berkuasa.

Polis juga sedang menyiasat Bersih berhubung “perhimpunan tergempar” (flash mob) yang diadakan pada 20 Jan di Masjid Jamek berhubung kes SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Faisal, timbalannya Wong Yan Ke dan Ashraf Sharafi dipanggil ke balai polis Dang Wangi hari ini untuk membantu siasatan yang sedang berjalan berhubung dua acara itu.

Dalam pada itu, Wong menggesa Ketua Polis Negara Razarudin Husain menjelaskan sama ada permit diperlukan untuk mengadakan perhimpunan atau hanya cukup memaklumkan pihak berkuasa.

Dua hari lepas, Razarudin berkata, anggotanya mungkin menggunakan istilah yang salah apabila menyatakan permit diperlukan untuk mengadakan perhimpunan, sebaliknya mereka sebenarnya memaksudkan “notis”.

Beliau berkata demikian menjawab kritikan bekas pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah selepas polis memberitahu penganjur bahawa permit diperlukan untuk mengadakan perhimpunan.

Bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur dikehendaki memberi polis notis sekurang-kurangnya lima hari untuk mengadakan perhimpunan. Sebelum ini, tempoh 10 hari diperlukan untuk memberi notis.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo