NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Basmi miskin tegar bukan maksud tiada kemiskinan, kata Rafizi

Miskin tegar merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan bulanan bawah RM1,169, manakala mereka yang berada dalam kemiskinan mutlak berpendapatan kurang RM2,208.


KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, pembasmian kemiskinan tegar bukanlah bermaksud kemiskinan dihapuskan sepenuhnya di negara ini.

Bagi kerajaan, katanya, “penoktahan” kemiskinan bermakna mengeluarkan sejumlah keluarga miskin tegar yang dilaporkan setiap tahun daripada keadaan kemiskinan mereka.

“Contohnya untuk 2022, dilaporkan secara rasmi terdapat 18,445 keluarga miskin tegar di seluruh negara,” katanya dalam Dewan Rakyat.

“Maka program kerajaan yang dipantau secara rasmi menunjukkan bahawa 18,445 keluarga itu telah dikeluarkan (daripada keadaan kemiskinan).”

Beliau berkata, laporan rasmi mencatatkan bilangan miskin tegar pada setiap tahun menjadi sasaran inisiatif kerajaan bertujuan membasmi kemiskinan, memandangkan garis kemiskinan tegar berubah dari tahun ke tahun.

“Kalau ada 20,000 (miskin tegar), 20,000 yang dikeluarkan (daripada keadaan kemiskinan). Kalau ada 40,000, (maka) 40,000 dikeluarkan,” katanya.

“Menoktahkan kemiskinan tegar bukan bermakna (sudah) tidak ada yang miskin dalam sesebuah negara, kerana kemiskinan itu adalah relatif. Kalau macam itu, tak payah ada kerajaan, tak payah ada zakat.”

Miskin tegar merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan bulanan bawah RM1,169, manakala mereka yang berada dalam kemiskinan mutlak berpendapatan kurang RM2,208.

Rafizi menjawab soalan tambahan Ismail Muttalib (PN-Maran) mengenai sama ada janji Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membasmi kemiskinan tegar adalah sekadar “gula-gula” untuk menaikkan semangat masyarakat.

Pada Jun tahun lepas, Anwar berkata, beliau mahu seluruh jentera kerajaan bekerjasama menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini menjelang 2023.

Beliau mengulangi ikrar kerajaan itu pada 11 Sept ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau kemudian mengaku dalam Dewan Rakyat bahawa setakat 15 Ogos, kerajaan “masih bertungkus lumus menyelamatkan hampir 114,000 keluarga miskin tegar daripada cengkaman kemiskinan”.

Rafizi sebelum ini berkata, Pangkalan Data Utama (Padu) akan meningkatkan keupayaan kerajaan untuk mengukur dengan tepat status sosioekonomi penduduk dan mengurangkan jurang berkaitan dengan pendapatan boleh guna.

Sementara itu, Rafizi berkata, kemiskinan tegar di Sabah direkodkan pada kadar 1.2% atau enam kali ganda berbanding kadar nasional 0.2%.

Katanya, Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 menunjukkan kadar kemiskinan tegar di lapan daerah Sabah lebih tinggi daripada kadar nasional, dengan Tongod mencatat kadar tertinggi 5.9%.

“Ia diikuti Beluran 5%, Pitas (4.8%), Kinabatangan (4.6%), Kota Marudu (4%), Tuaran (2.6%) serta Ranau dan Lahad Datu masing-masing 2.4%,” katanya menjawab soalan Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung jumlah keseluruhan miskin tegar di Malaysia dan lapan daerah di Sabah.

Menurutnya, jurang perbezaan itu agak besar memandangkan kadar kemiskinan tegar seluruh negara berkurangan daripada 1% pada 2020 kepada 0.2% bersamaan 18,445 isi rumah pada 2022.

Beliau berkata, tumpuan di Sabah ketika ini ialah mewujudkan peluang pekerjaan melalui pertanian bersepadu, misalnya projek Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-Intan).

Ketika ini, katanya, kerajaan Sabah sangat terkedepan dalam memberikan tanah untuk diusahakan, dengan 390 keluarga miskin tegar mengusahakan 203.96 hektar tanah di lapan daerah dengan menanam nanas, cili fertigasi, jagung dan kacang soya.


Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo