NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azmin nafi 5 lagi Adun Bersatu sokong MB Selangor



PETALING JAYA: Ketua Bersatu Selangor Azmin Ali menafikan lima lagi Adun parti itu akan isytihar alih sokongan kepada kerajaan negeri susulan tindakan Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari hari ini.

“Tak benar. Itu laporan palsu.

“Usah layan semua. Rakyat penat dan mahu kami beri khidmat terbaik kepada mereka. Ini yang kami sedang lakukan,” katanya dalam sidang media di Wisma Dewan Negeri Selangor.

Beliau mengulas dakwaan lima lagi Adun bersatu mengikut jejak Rashid menyokong Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Mereka adalah Harrison Hassan (Jeram), Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Batang Kali), Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis), Jamil Salleh (Dengkil) dan Rosnizan Ahmad (Morib).

“Belum dinamakan Hulu Kelang,” seloroh Azmin yang juga ketua pembangkang.

Sementara itu, Azmin menyifatkan tindakan Rashid beralih sokongan sebagai pengkhianatan dan tidak bertanggungjawab kepada mandat diberikan rakyat Selat Klang.

“Namun, apa tindakan seterusnya kita ada peruntukan undang-undang menerusi perlembagaan parti. Pasti proses ini kita akan lalui untuk menjamin berlaku keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Mengakui tidak menerima maklumat peralihan sokongan daripada bekas exco Selangor itu, Azmin meminta Rashid tampil memberi penjelasan kerana tindakannya menimbulkan kemarahan rakyat kawasan berkenaan.

“Untuk berlaku adil kepada Selat Klang, saya cadang beliau tampil beri penjelasan…nafikan sekiranya itu bukan surat beliau,” katanya.

Hari ini, Rashid menyatakan sokongan kepada Amirudin namun kekal sebagai ahli Bersatu.

Beliau menjelaskan tindakan itu selepas meneliti perkembangan terkini terutama Perikatan Nasional (PN) berdiam diri terhadap tohmahan terhadap raja-raja Melayu.

Bekas ketua Bersatu Selangor itu juga yakin keputusannya akan memanfaatkan penduduk Selat Klang menerusi pembentukan kerajaan stabil.


Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo