Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah (kiri) meluangkan masa beramah mesra bersama tetamu yang hadir Mesyuarat Agung ANGKASA Melaka hari ini.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah (kiri) meluangkan masa beramah mesra bersama tetamu yang hadir Mesyuarat Agung ANGKASA Melaka hari ini.

MELAKA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menzahirkan rasa terkilan kerana pihaknya tidak dilibatkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang berakhir semalam.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, berkata sepanjang perbincangan dan 10 sesi libat urus didapati pada resolusi berkenaan tiada peranan koperasi tidak disentuh dalam pembangunan ekonomi bumiputera.

Katanya, apabila berbicara berkaitan ekonomi bumiputera, peranan koperasi tidak boleh ditinggalkan kerana ia juga institusi yang dimiliki bumiputera.

"Gerakan koperasi mempunyai kira-kira 7.3 juta ahli di seluruh negara dengan 90 peratus keahlian dalam kalangan Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Pada 2022, gerakan koperasi menyumbang sebanyak RM4.5 bilion atau 3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Cuma yang membezakan gerakan koperasi ini dilakukan secara berkumpulan dengan minimum 50 orang bagi sesebuah koperasi dan tidak bergerak secara individu," katanya di Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Negeri (MAN) 2024 Melaka di sini.

Justeru, Abdul Fatah berkata, pihaknya mahu kerajaan melihat kembali peranan koperasi di dalam usaha memperkasa ekonomi golongan bumiputera pada masa depan.

Beliau menegaskan, kewujudan koperasi di Malaysia sudah melebihi usia 100 tahun dengan keuntungan yang diperoleh banyak menyumbang kepada faedah sosio-ekonomi.

Jelasnya, statistik terkini dikeluarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga 30 Jun 2023, ada 15,553 koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 7.3 juta individu membabitkan jumlah syer atau yuran sebanyak RM17.47 bilion, manakala jumlah aset RM161.96 bilion.

Sementara jumlah perolehan dicatatkan sehingga 31 Disember 2022 sebanyak RM45.05 bilion.

KEB 2024 yang berlangsung tiga hari membincangkan isu merangkumi reformasi pendidikan dan modal insan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pilihan kerjaya utama, pengukuhan industri halal, pembangunan desa dan pemerkasaan masyarakat Orang Asli.