Kuala Lumpur : Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob mengakui menerima tawaran daripada pihak tertentu pada tahun lalu untuk beliau menyatakan sokongannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu program temubual ' YB Apa Cerrr (Edisi Khas)' disiarkan di Facebook TV PAS semalam, beliau bagaimanapun menjelaskan, lebih rela meletak jawatan sebagai wakil rakyat berbanding menerima pelawaan itu.
"Pada bulan 10, 11.. saya memang 'down'. Duit pun tak ada. Pada masa itu, saya pun dapat tawaran (untuk nyatakan sokongan kepada Perdana Menteri). Dia (pihak yang memberi tawaran) telefon mahu jumpa.
"Tapi saya jumpa ketua pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainuddin). Saya nyatakan rela berhenti dan biar rakyat pilih semula wakil rakyat yang lain. Ketua pembangkang pun bagi kata-kata semangat, terus sabar," katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, pengalaman penggal pertamanya sebagai wakil rakyat cukup mencabar, apatah lagi sebagai wakil rakyat pembangkang yang tidak memiliki peruntukan.
"Saya pun tak tahu apa yang patut.. bantu atau tak sebenarnya. Sebab tugas sebagai Ahli Parlimen adalah menggubal undang-undang, untuk kita pastikan negara dapat bergerak (ke hadapan). Walaupun sebagai pembangkang, tugas kami adalah semak dan imbang.
"Tapi suasana politik di Malaysia dia lain sikit, 50 peratus boleh cerita pasal nak gubal undang-undang, 50 peratus lagi khidmat pada kebajikan masyarakat.
"Rakyat jangan nilai (prestasi) saya dalam keadaan serba kekurangan ini. Nilailah saya bila saya sudah jadi kerajaan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Medan yang juga Ahli MPT Bersatu, Dr Afif Bahardin mendakwa undang-undang lompat parti kini dijadikan alat kepada kerajaan untuk terus kekal berkuasa.
Beliau berkata, jika Anwar tegas dalam komitmennya mempertahan undang-undang lompat parti seperti diperjuangkannya ketika menjadi pembangkang, beliau tidak akan merestui mana-mana wakil rakyat pembangkang untuk mengalih sokongan kepadanya, atau jika tindakan itu dibuat, kerusi itu wajar diarah untuk dikosongkan.
"Anwar paling ke depan dalam membawa akta lompat parti ketika menjadi pembangkang dulu, seharusnya dia tak menerima siapa pun yang lompat ini. Secara moralnya memang betul atas kertas dia belum lagi dipecat dan sebagainya.
"Tapi dari segi moral, apa yang kamu mahu sebenarnya dengan akta lompat parti ini. Sepatutnya dia sebagai Perdana Menteri, dia tak perlu terima benda ini (Ahli Parlimen yang mahu beralih sokongan)," katanya.
Beliau berkata, kerajaan seharusnya mengarahkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul supaya mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang mahu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri supaya mengosongkan kerusinya.
"Speaker sepatutnya boleh (arah) kosongkan kerusi. Tak perlu kami minta pun. Tak perlu kami minta pinda perlembagaan. Tetapi sebab ada 'loophole' (kelompangan) dalam undang-undang, jadi dia gunakan sebagai alasan orang ini sokong dia.
"Katalah esok, tiba-tiba ada Ahli Parlimen dan Adun dari kerajaan pula menarik sokongan dan tak mahu bersama Perdana Menteri, atau tak mahu bersama Menteri Besar, adakah mereka juga tak perlu kosongkan kerusi juga.
"Kalau satu dua orang mungkin tidak, tapi kalau 30 orang (Ahli Parlimen) keluar dan kerajaan jatuh, adalah mereka tak mahu kosongkan kerusi.
"Akta lompat parti ini dari awal saja sudah gagal. Sekarang pula, kita berhadapan dengan situasi di mana akta lompat parti ini menjadi mokri dan alat kepada mereka yang berkuasa untuk mahu terus kekal berkuasa," katanya.
No comments
Post a Comment