Hubungan mesra ditunjukkan ketika Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi bertemu pemilik kelab bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) di Istana Negara semalam menarik perhatian warga maya di media sosial.
Ia adalah pertemuan yang harmoni kerana kedua-dua mereka boleh dikatakan antara seteru terhangat dalam dunia bola sepak negara.
Dalam satu video pendek dimuat naik di laman tiktok, Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sempat meminta izin untuk bergambar bersama TMJ sebelum mereka berbual antara satu sama lain.
Rakaman tersebut mendapat pujian daripada warga maya kerana kedua-dua mereka menunjukkan sikap profesional dan masing-masing mengetepikan kepentingan diri di majlis terbuka.
Malah, ada yang berpendapat Sanusi dan TMJ tidak lagi bermusuhan kerana kedua-dua mereka bergurau senda serta saling hormat-menghormati.
Sanusi sebelum ini banyak membuat beberapa kenyataan pedas terhadap JDT. Kenyataan itu kemudiannya turut dibalas sinis oleh TMJ menerusi media sosial.
Beberapa episod gurauan nakal antara dua individu ini dapat dilihat apabila pasukan Kedah bertemu JDT dalam perlawanan Liga Malaysia.
Sanusi pernah menyuarakan rasa tidak puas hati apabila pasukannya tewas di tangan JDT. TMJ juga menegur Sanusi agar menjaga sikap dan keperibadian beliau sebagai seorang MB.
Lebih menarik, TMJ sempat mengirimkan sejambak bunga dan makanan segera, McDonald’s kepada Sanusi sebagai respon balas susulan kenyataan Sanusi mengejek TMJ berhubung soal diet.
Bagaimanapun, pertelingkahan tersebut mula sepi sejak tahun lalu apabila KDA FC diambil alih oleh usahawan tanah air, Tan Sri Mohd Daud Bakar sebagai pemilik kelab.
No comments
Post a Comment