Presiden PAS Hadi Awang berkata beberapa hakim terdahulu yang bijaksana seperti bekas ‘lord president’ Salleh Abas tidak melayan tindakan mahu menyingkirkan syariat Islam. |
PETALING JAYA: Presiden PAS Hadi Awang membidas kemunculan sesetengah hakim yang didakwanya mempunyai “kepala dan akal yang dipengaruhi pemikiran penjajah”.
Beliau tidak menamakan sesiapa namun menggelarkan kumpulan hakim berkenaan sebagai “bijaksini” atau bukan bijaksana.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, beberapa hakim terdahulu seperti bekas “lord president” (kini dikenali ketua hakim negara) Salleh Abas tidak melayan tindakan yang mahu menyingkirkan syariat Islam.
“Kini muncul kalangan hakim yang ‘bijaksini’ (bukan bijaksana) yang kepala dan akalnya dipengaruhi tulisan warisan penjajah,” katanya dalam catatan minda presiden PAS di Facebook.
Timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, umat Islam wajib bangkit menentang usaha menyesatkan mereka daripada “Islam sebenar”.
“Hal ini demikian kerana dosa menghina Islam lebih besar daripada dosa menghina mahkamah yang sebenarnya hina di hadapan Allah,” katanya tanpa menghurai lanjut.
Kenyataan Hadi menyusul keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu yang memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman bertentangan berkata pemfailan petisyen tu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Tengku Maimun dalam penghakimannya menegaskan petisyen itu tiada kena-mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.
Sehubungan itu, beliau berpendirian tidak timbul isu mahkamah sivil tidak mempertahankan kedudukan agama Islam atau tidak memperkasakan Mahkamah Syariah.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment