Kup Nam ( kiri) dan Ching Choy didakwa menguruskan atas tuduhan pengurusan sebuah rumah persundalan, pada bulan lalu. |
JOHOR BAHRU – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pengurusan sebuah rumah persundalan pada bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Lim Kup Nam, 59, yang tidak bekerja dan Liew Ching Choy, 57, seorang pemandu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama menyimpan bagi maksud mengurus atau menolong dalam pengurusan sebuah rumah persundalan di Jalan Indah 12/8, Taman Bukit Indah di sini pada 1 Januari hingga 25 Januari lalu.
Untuk itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh namun mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 setiap seorang sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan mereka diikat jamin.
Tertuduh diwakili peguam Goh Sze Han juga memohon anak guamnya diikat jamin yang rendah memandangkan seorang daripadanya tidak bekerja manakala seorang lagi hanya pemandu lori.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM13,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lapor diri di balai polis sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 4 Mac depan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula pula, dua wanita warga Thailand pula didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di lokasi sama.
Tertuduh, Miss Konchanok Naleebut, 26, dan Miss U-Raiwan Sukha, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, mereka turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana sebagai bukan warga Malaysia berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.
Kesalahan itu boleh membawa hukuman di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah dikenakan sebatan maksimum enam kali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqillah Ahmad Rofaei juga tidak menawarkan ikat jamin memandangkan kedua-dua tertuduh adalah warga asing namun mencadangkan jumlah yang tinggi iaitu RM10,000 sekiranya mahkamah ingin membenarkan tertuduh dijamin.
Sze Han yang turut mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon ikat jamin dibenarkan dengan jumlah yang rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 7 Mac depan. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment