NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SIS khilaf berpandangan keputusan Mahkamah Persekutuan kemenangan prinsip kesamarataan



  • Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata fahaman khilaf itu timbul kerana SIS tidak memahami undang-undang negara ini dan perlembagaan yang meletakkan sistem negara untuk ditadbir sama rata dan saksama bagi semua rakyat berkaitan isu pokok, namun apabila melibatkan isu agama Islam ia ditadbir urus untuk kelompok beragama Islam.
  • Haniff berkata beliau tidak boleh menerima ataupun bersetuju dengan pandangan SIS berkaitan keputusan Nik Elin mahupun Iki Putra yang kononnya memberi sama rata antara orang bukan Islam dengan individu Islam kerana pandangan itu sendiri mempunyai asas yang khilaf.
  • “Mereka nak samakan kedudukan mereka dengan orang bukan Islam, disitulah mereka khilaf, sebab bagi saya kalau kita menganut mana-mana agama, macam kita orang Islam menganut agama Islam maka kita letakkan kedudukan kita di bawah agama kita, adalah untuk agama tentukan hak kita bukan kita tentukan hak agama,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times selepas tamat siaran langsung program Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus: ‘Kuasa mahkamah mudah dicabar, mana silapnya?’ di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
  • Senada dengan Haniff, bekas Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, Datuk Muhamad Asri Abdullah turut melihat pandangan SIS itu sebagai salah kerana sebagai individu Islam kita berbeza dengan bukan Islam.
  • Beliau berkata misalnya apabila melibatkan konsep liwat, bagi individu bukan Islam jika ia melibatkan perbuatan rela atau suka sama suka maka ia tidak salah, namun bagi Islam perbuatan itu tetap salah.

KUALA LUMPUR — Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang dilihat Sister In Islam (SIS) sebagai kemenangan buat prinsip kesamarataan adalah satu fahaman khilaf.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata fahaman khilaf itu timbul kerana SIS tidak memahami undang-undang negara ini dan perlembagaan yang meletakkan sistem negara untuk ditadbir sama rata dan saksama bagi semua rakyat berkaitan isu pokok, namun apabila melibatkan isu agama Islam ia ditadbir urus untuk kelompok beragama Islam.

“Isu agama Islam diletakkan untuk diurus tadbir untuk orang Islam, apa masalahnya, di manakah ketidak samarataannya? Jika syariah dibenarkan wujud untuk orang Islam, kenapakah orang Islam perlu dipaksa untuk diterima hukuman-hukuman jenayah yang dikhususkan di bawah sivil sahaja? 

“Kenapakah orang Islam tidak boleh dibenarkan diadili melalui sistem jenayah syariah dalam keadaan yang tidak ada undang undang tersebut di dalam sivil?

“Kenapakah itu tak menjadi sama rata, sedangkan kalau mereka SIS membaca Perkara 8 Perlembagaan mengatakan diskriminasi tidak boleh dilakukan berkaitan jantina dan sebagainya termasuk agama,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times selepas tamat siaran langsung program Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus: ‘Kuasa mahkamah mudah dicabar, mana silapnya?’ di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

Turut diundang sebagai panelis ialah bekas Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, Datuk Muhamad Asri Abdullah.

Beliau mengulas kenyataan SIS yang mengatakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah, merupakan kemenangan buat prinsip kesamarataan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama atau latar belakang etnik.

SIS berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu menandakan kejayaan Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu undang-undang tertinggi negara dalam menekankan prinsip undang-undang yang sama untuk semua rakyat. 

Sebelum ini, panel lapan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel itu dilaporkan sebagai berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Mengulas lanjut, Haniff berkata beliau tidak boleh menerima ataupun bersetuju dengan pandangan SIS berkaitan keputusan Nik Elin mahupun Iki Putra yang kononnya memberi sama rata antara orang bukan Islam dengan individu Islam kerana pandangan itu sendiri mempunyai asas yang khilaf.

“Mereka nak samakan kedudukan mereka dengan orang bukan Islam, disitulah mereka khilaf, sebab bagi saya kalau kita menganut mana-mana agama, macam kita orang Islam menganut agama Islam maka kita letakkan kedudukan kita di bawah agama kita, adalah untuk agama tentukan hak kita bukan kita tentukan hak agama.

So kalau kita benar-benar menganut agama, maka kita patut hormati hak agama itu untuk menentukan cara hidup kita dan kita patut benarkan kita tertakluk kepada nilai-nilai, keperluan-keperluan undang-undang agama itu,” katanya.

Senada dengan Haniff, bekas Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, Datuk Muhamad Asri Abdullah turut melihat pandangan SIS itu sebagai salah kerana sebagai individu Islam kita berbeza dengan bukan Islam.

Beliau berkata misalnya apabila melibatkan konsep liwat, bagi individu bukan Islam jika ia melibatkan perbuatan rela atau suka sama suka maka ia tidak salah, namun bagi Islam perbuatan itu tetap salah.

“Misalnya juga mengenai berjudi, kalau dalam Islam kalau sama ada berlesen atau tidak berlesen adalah salah. Kita tidak boleh sama rata. Kita boleh sama rata perkara berkaitan dengan negara ataupun keselamatan.

“… tetapi kalau berkaitan perintah agama, Islam suruh kita jangan berjudi, jangan minum arak, jangan bersekedudukan, jangan sumbang mahram, jangan jadikan maksiat sebagai sumber pendapatan itu berbeza,” katanya. 

Muhamad Asri berkata amat malang sekiranya kita tinggal di negara merdeka, namun tidak bebas untuk mengamalkan kepercayaan agama kita. — The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo