Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan akan menuntut penjelasan daripada sebuah syarikat perkhidmatan p-hailing selepas sekumpulan penghantar makanan menghantar memorandum kepada Kementerian Pengangkutan bagi memohon bantuan serta campur tangan kerajaan menyelesaikan isu penurunan kadar upah mereka.  

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, memorandum itu akan dikaji dan dibincang kementerian yang terbabit.

"Kita akan meminta Grab beri penjelasan," katanya secara ringkas.

Semalam, sekumpulan penghantar makanan sebuah syarikat p-hailing menghantar memorandum kepada Kementerian Pengangkutan bagi memohon bantuan serta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan isu penurunan kadar upah mereka.  

Memorandum itu diserahkan wakilnya, Mohd Adie Ali Nafiah kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan Dr Nor Fuad Abdul Hamid di Putrajaya yang turut dihadiri kira-kira 40 wakil penghantar makanan seluruh negara. 

Beliau mahu syarikat p-hailing itu mengembalikan kadar upah dahulu iaitu RM5 bagi satu pesanan yang disifatkannya sebagai lebih baik berbanding hanya RM4 atau RM4.50 ketika ini. 

Sementara itu, mengulas mengenai insiden nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Loke berkata, hasil siasatan akan dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

"Siasatan berhubung punca nahas udara itu sedang dijalankan ketika ini.

"Siasatan akan dibuat oleh BSKU dan sebarang kenyataan fakta akan dikeluarkan oleh biro berkenaan," katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau hari pertama pembukaan stesen LRT Bandaraya di sini hari ini.