NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RUU 355: Umno dijemput sambung usaha PAS dalam kerajaan




KUALA LUMPUR
: Setelah Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb 2024  mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah, Kerajaan Perpaduan dilihat begitu risau dengan reaksi umat Islam yang bimbangkan kedudukan Mahkamah Syariah yang  seolah-olah seperti terhakis bidang kuasanya.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary berkata, adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila Setiausaha Agung Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki sehingga mengeluarkan kenyataan yang mahukan agar Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan di bawah Kerajaan Perpaduan, bagi mengesyorkan kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan agar menaik-taraf Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. 

“Selaku mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang dipertanggungjawab untuk membantu usaha-usaha memperkasa Mahkamah Syariah sebelum ini, saya boleh mengesahkan bahawa isu bidang kuasa Mahkamah Syariah telah dikaji secara komprehensif.

“Draf RUU 355 juga telah disiapkan dengan sempurna walaupun dalam keadaan negara diuji dengan pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS. 

Menurutnya, draf RUU 355 ini telah dibentang kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Kali ke-27 pada 11 hingga 12 Oktober 2021 serta telah melalui segala proses penggubalan mengikut tertib yang sepatutnya. 

“Sekiranya Kerajaan Perpaduan serius ingin memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah, saya mencadangkan agar kerajaan boleh terus mengguna pakai draf RUU 355 yang sudah disiapkan sebelum ini.

“Ia adalah agar proses penggubalan tidak perlu bermula daripada peringkat awal semula, sementelah ia akan melibatkan pihak-pihak berkepentingan yang sama,” jelasnya.  

Tambah beliau, draf RUU 355 yang ada sebelum ini telah pun disemak dan diluluskan oleh Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober 2022, dan sepatutnya sudah sedia untuk dibawa ke Parlimen pada bila-bila masa. 

“Soalan saya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sekarang, Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar ialah di manakah sebenarnya draft RUU 355 itu sekarang dan apakah kerajaan akan meneruskan usaha yang telah dimulakan oleh PAS sebelum ini?” soalnya.

Tambah beliau, sehingga ke hari ini, kita masih belum melihat tanda-tanda daripada Kerajaan berhubung komitmen mereka untuk membentangkan RUU 355 ini di Parlimen. 

“Justeru, saya menyeru Umno agar memainkan peranan yang serius untuk mengangkat agenda ini, atau akan terus dilihat rakyat sebagai lemah dan hanya mengikut telunjuk DAP dalam gabungan kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini,” katanya.    HARAKAHDAILY  14/2/2024







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo