NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

P.Pinang teliti persamaan enakmen kanun jenayah syariah



GEORGE TOWN – Pulau Pinang akan mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan penambahbaikan enakmen kanun jenayah syariah negeri yang mempunyai persamaan dengan undang-undang Mahkamah Persekutuan.

Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Muhamad Abdul Karim Wahab berkata, pihaknya dimaklumkan ada beberapa enakmen yang mempunyai persamaan namun perbincangan mengenai perkara itu belum dilakukan.

“Penasihat undang-undang negeri akan mengadakan mesyuarat untuk perbincangan itu dan sekiranya perlu penambahbaikan atau memartabatkan lagi perkara itu mungkin akan dilaksanakan.

“Bagaimanapun, saya tidak dimaklumkan tarikh mesyuarat tersebut kerana saya tidak ada dalam jawatankuasa itu.

“Kita hormati keputusan pembatalan Enakman Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 oleh Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu, namun apa yang saya nak tegaskan di sini pembatalan itu tidak menjejaskan sistem perundangan Syariah negeri ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Pulau Pinang mempunyai Enakmen Jenayah Syariah sama dengan undang-undang Mahkamah Persekutuan serta kesan pembatalan enakamen tersebut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Terdahulu, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang menyampaikan Sijil Pentauliahan Peguam Syarie negeri di Jabatan Kehakiman Syariah negeri di Jalan Batu Gantung di sini.

Sementara itu, mengulas dakwaan tindakan Mahkamah Persekutuan menunjukkan seolah-olah Mahkamah Syariah tiada kuasa, Muhamad Abdul Karim menegaskan, ia lebih kepada proses mematangkan lagi proses keadilan.

Kata beliau, mahkamah syariah juga berfungsi secara berlainan mengikut negeri kerana mereka lebih banyak membicarakan kes Mal membabitkan kekeluargaan berbanding kes jenayah syariah.

“Mahkamah kita terbina atas dasar undang-undang dan sekiranya ia dicabar, itu merupakan salah satu perkara yang mungkin mematangkan lagi proses keadilan kita. 

“Kita tidak nafikan ada cabaran dalam perkara sebegini hingga mencetuskan kegusaran kepada masyarakat awam tetapi InsyaAllah dengan izin Allah  SWT kita akan dapat mengendalikan dengan jalan terbaik walaupun dalam keadaan berbeza.

“Saya sangat optimis tentang pekara ini serta fungsi mahkamah syariah kerana mahkamah ini bukan bicara mengenai kes jenayah syariah semata-mata ia turut membabitkan kes Mal dan contohnya di Pulau Pinang hampir 80 peratus kes membabitkan isu kekeluargaan selebihnya baru kes jenayah syariah,” katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat

Seksyen 14: Liwat

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia

Seksyen 31: Gangguan seksual

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan

Bahagian 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah)

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram

Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak)

Yang diisytiharkan sah

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan. – MalaysiaGazette




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo