Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz. - Foto fail NSTP
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz. - Foto fail NSTP

SHAH ALAM: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mencadangkan klausa yang menghalang atau 'preclusion clause' dalam Butiran 1, Senarai Negeri Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, dipinda atau dibuang.

Yang Dipertua, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, merujuk klausa menyebut 'kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan' yang jika dipinda, akan dapat memperkasakan undang-undang syariah di negeri.

"Usaha ini perlu dilakukan bukan sahaja dalam konteks negeri, tetapi secara menyeluruh di peringkat Persekutuan. Usaha pengukuhan dan pemerkasaan kedudukan mahkamah syariah di Malaysia adalah usaha kolektif yang merentasi politik kepartian atau kenegerian.

"Ini kerana mahkamah syariah adalah syiar perundangan Islam bagi semua umat Islam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga memaklumkan, PUM melalui sesi perbincangan dengan wakil peguam dan badan bukan kerajaan (NGO) kelmarin, juga bersetuju agar pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) atau Akta 355 dipercepatkan untuk dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

"Melalui sesi perbincangan itu, terdapat cadangan supaya mahkamah syariah juga diperkukuhkan melalui pindaan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Dicadangkan agar penubuhan mahkamah syariah disebut dengan jelas dalam peruntukan ini supaya ia ada kedudukan yang diiktiraf," katanya.

Beliau juga melahirkan kerisauan berkaitan doktrin struktur asas yang membuka ruang kepada pelbagai pihak menyempitkan bidang kuasa mahkamah syariah, seterusnya boleh melemahkan institusi Islam dan perundangan Islam di negeri.

"Oleh itu, semua pihak perlu bersatu hati dan berpadu tenaga berusaha supaya perundangan Islam dan mahkamah syariah dimartabatkan di Malaysia dan kedudukan Sultan, Raja sebagai ketua agama Islam negeri dipertahankan," katanya.

Sumber asal | BHarian