Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco masih pada peringkat kajian. (Gambar Bernama) |
PETALING JAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengajak kepimpinan Umno berbincang berhubung cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.
Nga yang juga naib pengerusi kebangsaan DAP berkata, beliau mengajak pemimpin-pemimpin Umno bermesyuarat agar beliau dapat menjelaskan fakta sebenar berhubung cadangannya itu.
“Sebenarnya saya ada berhubung dengan pemimpin Umno, kita ajak mereka bermusyawarah supaya kita dapat berbincang dan ketahui hakikat dan fakta sebenar.
“Ia supaya mereka tidak terpesong dengan fakta-fakta atau isu sentimen yang dimainkan oleh pembangkang,” katanya selepas sebuah acara Tahun Baharu Cina di Manjung hari ini, lapor Sinar Harian.
Dilaporkan sebelum ini bahawa Nga bercadang mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco bertujuan untuk mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah kampung berusia 76 tahun itu.
Umno menentang keras cadangan itu dengan timbalan presidennya, Mohamad Hasan berkata, tiada keperluan untuk kampung itu dijadikan Tapak Warisan Dunia.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa cadangan sedemikian bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.
Dalam pada itu, Nga berkata, cadangan itu masih pada peringkat kajian dan pihaknya menyokong sekiranya Kampung Tradisi Melayu turut dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia.
“Pada peringkat kementerian, kita buat kajian kebolehlaksanaan. Kita ada beberapa tapak warisan dunia seperti Gua Mulu, Sarawak; Gunung Kinabalu, Sabah, Melaka dan Pulau Pinang, jika dapat satu lagi memang menjadi kebanggaan negara.
“Sekiranya ada kemungkinan perkara ini boleh dijalankan, maka saya akan angkat (perkara ini) untuk dibincangkan pada peringkat Jemaah Menteri, (kemudian) dan barulah buat keputusan,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment