GEORGE TOWN: Sembilan nelayan dan dua NGO memfailkan saman terhadap kerajaan Pulau Pinang dalam usaha menghentikan projek penambakan di selatan pulau itu atas alasan ia menjejaskan pendapatan mereka.
Kumpulan nelayan yang diketuai Zakaria Ismail dari Unit Nelayan Sungai Batu bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) serta Jaringan Ekologi dan Iklim (Jedi) mahu projek Pulau Pinang Selatan (PSI) diisytiharkan haram serta kerajaan negeri membatalkan penambakan di kawasan terjejas, jika permohonan mereka berjaya.
Projek penambakan bernilai RM8.5 bilion itu bermula September lalu, dengan kawasan seluas 920ha ditebus guna bagi membina Pulau Silikon.
Tanah itu dijangka ditebus guna sepenuhnya menjelang 2032, dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata ia diunjurkan berkembang pada 160ha setahun. FMT difahamkan kira-kira 4ha sudah ditambak setakat ini.
Dalam sidang media hari ini, Setiausaha Kehormat SAM, S Mageswari berkata Mahkamah Tinggi di sini memberi kebenaran untuk meneruskan permohonan semakan kehakiman mereka.
“Kami juga cuba mendapatkan penangguhan terhadap kebenaran yang diberikan kepada PSI dan semua proses lain serta kerja penambakan, sementara menunggu pelupusan akhir permohonan semakan kehakiman dan kos.
“Impak projek itu sudah dilihat dan dirasai nelayan.”
Zakaria berkata, nelayan di pantai selatan, kawasan utama penangkapan udang di negeri ini, berdepan penurunan mendadak tangkapan, dengan hasil udang mereka merosot sebanyak 50%.
Pada suku akhir 2023, katanya, nelayan di kawasan itu hanya menangkap 93kg udang berbanding purata 186kg udang bagi suku keempat 2021 serta 2022.
“Kami menderita akibat kemerosotan hasil tangkapan sejak penambakan ini bermula.”
Meenakshi Raman, presiden SAM dan wakil undang-undang dalam kes ini berkata, pengecilan projek daripada tiga pulau kepada sebuah pulau, seperti diumumkan perdana menteri, tidak mencukupi.
“Projek ini membawa kesan besar terhadap alam sekitar dan mempunyai banyak isu undang-undang yang perlu dibangkitkan di mahkamah.”
Khoo Salma Nasution dari Jedi berkata, penambakan itu menyebabkan kumpulan B40 terpinggir dan mempersoalkan sama ada Pulau Pinang “untuk semua rakyat atau hanya syarikat”.
Permohonan semakan kehakiman itu bagi mencabar kebenaran merancang yang diberikan kepada projek PSI pada 21 Ogos 2023. Mereka mahu membatalkan kebenaran merancang, menerbalikkan keputusan itu, memulihkan kawasan terjejas dan menuntut pampasan bagi kehilangan pendapatan.
Alasan semakan kehakiman itu termasuk kegagalan mematuhi undang-undang perancangan bandar, kesilapan dalam rujukan projek, tiada penilaian alam sekitar dan mengabaikan kesan buruk terhadap alam sekitar serta punca pendapatan nelayan.
Hakim Quay Chew Soon akan mendengar permohonan penangguhan mereka di Mahkamah Tinggi George Town pada Isnin.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment