Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan beliau terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada Spanco Sdn Bhd (SPANCO).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sehingga kini tohmahan jahat itu berlegar di media massa dan media sosial tanpa butiran lengkap bagaimana beliau terbabit dalam perkara terbabit dan salah laku berkenaan.

"Samalah seperti tuduhan sebelum ini kononnya saya menyeleweng wang negara bernilai ratusan billion ringgit yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan oleh mereka yang menuduh saya.

"Saya sudah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah berkaitan projek Jana Wibawa. Rayuan pendakwaan akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 28 dan 29 Februari ini. Saya berdoa semoga mendapat keadilan di mahkamah," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata, dakwaan itu sebahagian daripada siri pembunuhan watak yang dibuat oleh musuh politik yang bertujuan untuk menjejaskan reputasinya.

Berhubung kontrak SPANCO, katanya, kerajaan sepatutnya mendedahkan sebab surat niat (LOI) yang diberikan kepada sebuah syarikat lain oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum itu dibatalkan.

"Saya percaya maklumat mengenainya ada di Kementerian Kewangan. Perlu didedahkan juga ialah tarikh bila kontrak tersebut diberikan kepada SPANCO.

"Janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya. Sebagai Perdana Menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021, saya tidak terbabit dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Sumber asal | BHarian