Seperti yang kita semua maklum baru-baru ini melalui kenyataan daripada beberapa orang menteri termasuk Perdana Menteri sendiri bahawa kerajaan dalam rangka untuk menghapuskan skim pencen bagi penjawat awam.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan bakal menanggung perbelanjaan mencecah RM120 bilion setahun menjelang 2040 sekiranya skim pencen itu diteruskan.
Hasrat untuk menghapuskan pencen ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan Madani ini tidaklah bijak sangat dalam mengurus kewangan negara.
Bukan apa, jika kita ingat semula semasa mereka (Pakatan Harapan) dahulu menjadi pembangkang, semua menteri kerajaan pada masa itu mereka kata ‘bodoh dan bangang’.
Yang cerdik mereka sahaja. Mereka pun kata jika mereka jadi menteri mereka boleh bagi lebih baik lagi kepada rakyat. Bila sahaja harga barang naik, semuanya mereka kata salah kerajaan.
Lalu pada masa itu, rakyat membayangkan bahawa jika mereka semua menjadi menteri maka dengan mudah sahaja masalah ekonomi mereka selesaikan, harga barang semakin hari semakin murah dan bantuan kepada rakyat semakin hari semakin tinggi.
Itu yang rakyat fikirkan semasa mereka ‘membodoh-bodohkan’ menteri kerajaan terdahulu.
Dan terbukti sekarang ini tidak ada apa-apa yang ajaib berlaku yang menunjukkan bahawa mereka mempunyai idea yang sangat cerdik untuk dilaksanakan yang benar-benar lain dari yang lain.
Pepatah Sun Tzu menyatakan: “kebolehan untuk melihat matahari bukan lambang ketajaman penglihatan dan kebolehan untuk mendengar guruh bukan tanda ketajaman pendengaran”.
Jika seorang itu mengatakan dia mempunyai kelebihan luar biasa dengan menumbangkan pokok besar dengan gergaji itu biasa.
Semua orang buat begitu. Lainlah jika seseorang itu boleh menumbangkan pokok besar dengan jari, itu barulah ajaib!
Setakat idea menghapuskan pencen kerana kerajaan menanggung kos yang tinggi itu tidak memerlukan apa-apa kecerdikan. Sesiapa pun yang menjadi Perdana Menteri atau menteri boleh keluar dengan idea biasa itu.
Rakyat mahu tengok bagaimana menteri-menteri yang katanya mempunyai kecerdikan luar biasa ini berjaya menghasilkan suatu penyelesaian bagaimana untuk mengekalkan skim pencen dalam keadaan kekangan kewangan kerajaan.
Sebenarnya jumlah RM120 bilion menjelang tahun 2040 itu turut mengambil kira bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan hasil kerajaan turut akan meningkat selaras dengan perkembangan dari tahun ke tahun. Jumlah penduduk juga akan meningkat.
Sudah tentu kos pembayaran pencen pada tahun 1970 lebih rendah dari tahun 1980. Seterusnya jumlah bayaran pencen pada tahun 2000 sudah pasti lebih rendah dari tahun 2010.
Malah, jika kerajaan memutuskan untuk menukar kepada skim KWSP pun ia akan meningkatkan kos kerajaan pada masa ini untuk membayar caruman bulanan kakitangan bahagian majikan.
Mungkin kerajaan boleh menggunakan sistem caruman bulanan kerajaan untuk skim pencen yang dimasukkan sekali dalam kos setiap kali seseorang kakitangan awam dilantik. Maka, kosnya diasingkan sedikit demi sedikit sehingga mereka pencen.
Fikirlah apa pun idea selain dari menghapuskan skim pencen. Menteri-menterikan semuanya cerdik.
Kerajaan sepatutnya memikirkan bagaimana untuk meningkatkan pendapatan kerajaan agar kerajaan mampu untuk menanggung kos pencen itu tadi. Sementelah menteri-menterinya ‘super cerdik’ dan memiliki idea luar biasa.
Rakyat membayangkan apabila menteri-menteri yang cerdik ini menjadi menteri maka mereka bukan sahaja mampu mengekalkan pencen untuk kakitangan kerajaan, malah dapat mewujudkan pencen untuk kakitangan swasta pula – bukannya menghapuskan pencen. Kata cerdik!
Sumber – HARAKAHDAILY
No comments
Post a Comment