NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahkamah Persekutuan isytihar 16 peruntukan Enakmen Syariah Kelantan terbatal, tidak sah

Seorang peguam bersama anknya dari Kelantan hari ini berjaya dalam permohonan mereka mendapatkan pembatalan daripada mahkamah tertinggi negara terhadap 16 peruntukan enakmen kesalahan jenayah negeri terbabit.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen Nik Elin Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Keluarga itu mencabar perlembagaan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. Bagaimanapun, mahkamah tertinggi hanya membenarkan 16 daripada 18 itu tidak sah.

Antara peruntukan yang dianggap tidak sah ialah mengenai pemusnahan tempat ibadat (Seksyen 11), liwat (Seksyen 14), persetubuhan dengan haiwan (Seksyen 17), dan gangguan seksual (Seksyen 31).

Kesalahan jenayah syariah lain yang menjadi pertikaian dalam permohonan itu ialah memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat palsu (Seksyen 34), mabuk (Seksyen 36), dan penyalahgunaan label halal (Seksyen 42).

Di sebalik menerima 16 permohonan pasangan anak-beranak itu mahkamah bagaimanapun menolak cubaan mereka membatalkan dua lagi peruntukan dalam enakmen sama.

Ia membabitkan penyerahan anak kepada orang bukan Islam atau Muslim yang rosak akhlaknya (Seksyen 13), dan perkataan yang boleh memecahkan keamanan (Seksyen 30).

Menurut Tengku Maimun bahawa badan perundangan Kelantan bertindak melebihi kuasa yang ada dengan menggubal enakmen yang bercanggah dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Maimun sekali lagi mengingatkan apa yang dicabar oleh Nik Elin dan Tengku Yasmin itu bukanlah mengenai kedudukan Islam dan sistem kehakiman syariah di Malaysia.

Sebaliknya jelas Tengku Maimun, yang dipertikaikan ialah keabsahan perlembagaan terhadap 18 peruntukan enakmen Kelantan yang didakwa pempetisyen sebagai melanggar had kuasa negeri terbabit.

"Kuasa parlimen dan dewan undangan negeri dihadkan oleh Perlembagaan Persekutuan, dan mereka tidak boleh membuat sebarang undang-undang yang mereka suka," kata Tengku Maimun yang membacakan keputusan bagi pihak majoriti.

Selain Tengku Maimun, tujuh hakim yang menerima permohonan tersebut ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Amar Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Mohamad Zabidin Mohd Diah; dan empat hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal , Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli menjadi satu-satunya hakim yang memberikan keputusan sebaliknya.

Antara lain dia berpendapat Nik Elin dan anaknya itu tidak memiliki locus standi untuk mencabar keabsahan enekmen berkenaan.

Berikut adalah senarai enakmen yang batal

16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat

Seksyen 14: Liwat

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia

Seksyen 31: Gangguan seksual

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan

Bahagian 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan 'hukum syarak' (undang-undang syariah)

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram

Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak)

Yang diisytiharkan sah

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo