NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

LUHAM kesal kerajaan enggan sertai prosiding isu perlembagaan




KUALA LUMPUR
: Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat kesal berhubung sikap kerajaan Madani yang berpeluk tubuh dan enggan menyertai prosiding penting bagi isu perlembagaan yang melibatkan bidang kuasa negeri dan persekutuan.

Pengerusinya, Wan Rohimi Wan Daud, berkata kerajaan Persekutuan dan Peguam Negara ‘menikus’ apabila doktrin asas perlembagaan dan kenegaraan dicabar oleh individu warganegara atau mana-mana pihak yang lain. 

Menurut beliau, sekurang-kurangnya pihak berkenaan tangkas bangun mempertahankan atau sekurang-kurangnya menyertai prosiding sedemikian bagi menyatakan pendirian Kerajaan Persekutuan.

“Tetapi ini tidak berlaku di zaman kerajaan Madani. Memalukan! Kesipuan ini adalah malapetaka besar bagi umat Islam di Malaysia. Peguam Negara memilih untuk membisu seribu bahasa. Memualkan!

“Justeru, teguran dan pandangan Penghakiman Menentang boleh difahami dan tidak sewajarnya dipandang enteng oleh kerajaan Madani dan Peguam Negara Malaysia sebagai Pemegang Amanah kepada kepentingan awam,” katanya.

Sehubungan itu, pihak LUHAM turut kesal tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang membuat tuduhan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) bahawa pada zaman pemerintahan PN yang tidak berbuat apa-apa memandangkan petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid difailkan pada 2022.

Beliau yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, menegaskan bahawa dakwaan yang menyalahkan kerajaan PN sebagai tidak berbuat apa-apa adalah putar-belit politik murahan yang bercanggah dengan fakta dan kronologi kes.

“Hakikatnya, petisyen rasmi Nik Elin hanya difailkan pada 13 Oktober 2022 selepas mendapat kebenaran seorang Hakim Mahkamah Persekutuan. 

“Pada tarikh petisyen difailkan, Parlimen Malaysia telah dibubarkan pada 10 Oktober 2022 dan Malaysia berada dalam tempoh kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan kerajaan yang wujud pada masa itu hanyalah bersifat Kerajaan Sementara semata-mata.

“Ringkasnya, kerajaan Madani yang dibentuk selepas 19 November 2022, adalah bertanggungjawab sepenuhnya atas sikap membisu dan enggan menyertai penghujahan petisyen Nik Elin ini,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan Madani terus membisu sebagaimana membisunya mereka setelah hampir setahun penarikan balik (secara diam-diam) rayuan kes Kalimah Allah pada 18 April lalu. 

“Yang didengari hanyalah penubuhan Jawatankusa Khas sahaja. Sehingga kini umat Islam tidak mendengar apa-apa langkah segera kerajaan Madani untuk mengkanunkan semula Pekeliling Kementerian Dalam Negeri berkaitan pengharaman kalimah suci Islam: Allah-Kaabah-Baitullah dan Solat!

“Apa yang lebih dikesalkan, selepas keputusan petisyen Nik Elin diisytiharkan pada 9 Februari baru-baru ini, jelas kelihatan jentera-jentera kerajaan Madani terutama media-media rasmi termasuk Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), kelihatan tidak cukup tangan menganjur forum dan wacana bagi memberikan justifikasi dan mendokong tindakan Nik Elin. 

“Nik Elin wajar bergembira kerana pada masa kini seluruh jentera kerajaan Persekutuan seakan mendukung tindakan dan kemenangannya.

“Amatlah malang, ketika Enakmen Syariah negeri-negeri semakin dicabar untuk dibatu-nisankan, Kerajaan Madani dan segala agensi-agensinya tangkas merayakan dan meraikan keputusan yang bakal melenyapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya.

Di samping itu, LUHAM mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas atas keberanian dan kebijaksanaan yang dipertontonkan melalui Penghakiman Menentang oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Sebli.

Wan Rohimi percaya majoriti umat Islam di Malaysia dan hampir seluruh rakyat Kelantan mendukung dan menyambut baik kebijaksanaan penghakiman tersebut.

“Alasan Penghakiman Menentang sepanjang 72 mukasurat itu sangat berfokus, menyeluruh dan menggambarkan watak kehakiman yang sangat teliti dan bertanggungjawab.

“Khususnya dalam menghakimi isu perlembagaan dan kenegaraan yang sangat penting dan bersejarah agar tidak sewenang-wenangnya disalahgunakan oleh ‘phantom busy-bodies’ (hantu-hantu penyibuk), ‘crank’,‘ghostly intermeddlers’ dan ‘mishief-makers’ (pembuat masalah).

“Isu hak untuk menyaman khususnya dalam kes-kes yang melibatkan tafsiran perlembagaan yang melibatkan asas kepada sistem demokrasi, pemisahan bidang kuasa negeri dan persekutuan serta pemisahan cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman,” tambah beliau.

Katanya lagi, sebagaimana yang dihakimi secara panjang lebar dan sangat komprehensif dalam Penghakiman Menentang oleh Tan Sri Abdul Rahman Sebli sewajarnya diangkat dan dijadikan panduan kehakiman pada masa hadapan.

“Platform kehakiman tidak sewajarnya digunakan oleh melontarkan cabaran perlembagaan berasaskan fantasi yang bersifat hipotetikal oleh mana-mana pihak, apatah lagi untuk menjayakan agenda kolateral yang lebih besar,” katanya.  HARAKAHDAILY  15/2/2024





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo