Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, keadaan dan peranan Mahkamah Syariah kini kembali kepada asal seperti di zaman awal kemerdekaan di mana hanya fokus bab nikah, cerai, harta pusaka dan penyusuan.
Sedangkan menurutnya, negara sudah merdeka lebih 66 tahun yang sepatutnya dalam tempoh masa tersebut, kuasa Mahkamah Syariah sudah dinaiktaraf dan dikukuhkan lagi agar lebih atau sekurang-kurangnya setanding dengan Mahkamah Sivil.
“Kita mengaku kita orang Islam dan negara Islam. Namun, Mahkamah Syariah berada di nombor 2, macam mana boleh jadi begini? Apa yang kita semua lakukan selama ini, baik yang ada kuasa atau tidak, baik yang ada jawatan atau tidak?” soalnya bermuhasabah.
Oleh sebab itu ujar beliau, Rang Undang-undang (RUU) untuk meminda Akta355 iaitu menaiktaraf bidang kuasa jenayah di Mahkamah Syariah, namun usaha tersebut terhenti di tengah jalan kerana Parlimen dibubarkan pada tahun 2022.
Mohd Amar mendedahkan, pada bulan Ogos 2022, secara dasarnya Kabinet kerajaan yang turut dianggotai PAS ketika itu telahpun bersedia membawa RUU ke Parlimen untuk meminda Akta355 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.
“Pada 7 Oktober (2022) kalau tidak silap, Pejabat Peguam Negara telah bersedia dengan draf untuk pembentangan di dalam Parlimen. Tiba-tiba pada 10 Oktober, Parlimen dibubarkan. Kalau ditanya, apa yang kita buat? Itulah yang kita buat. Dah mengandung, tetapi tidak sempat nak melahirkan.
“Kalau yang dibawa ke Parlimen itu lulus, kuasa Mahkamah Syariah akan melebihi kuasa yang ada pada hari ini. Ada yang bangkitkan (bandingan), ‘Hukuman Mahkamah Sivil lebih berat daripada Mahkamah Syariah’, betul (saya akui).
“Dalam sesetengah kes sebab ada hadnya iaitu (Mahkamah Syariah) tidak boleh dikenakan denda melebihi RM5,000, sebat tidak boleh melebihi enam rotan dan penjara tidak boleh melebihi 3 tahun. Itu sahaja bidang kuasanya. Hari ini ada yang duk banding-bandingkan.
“Memang betullah sebab kuasa Mahkamah Syariah (dibenarkan undang-undang sedia ada) setakat itu sahaja. Contohnya, cuba kita bandingkan, yang mana lebih besar antara cikgu tadika, cikgu sekolah rendah, sekolah menengah, pengetua maktab, dan dekan fakulti? Inilah yang kita (dikatakan) tidak ‘reti’.
“Masalahnya ialah bidang kuasa. Oleh sebab itu, RUU355 adalah untuk menaiktaraf kuasa Mahkamah Syariah. Jadi, kerajaan sekarang boleh mengambil semula dan menyambung usaha yang Kerajaan Perikatan Nasional (PN) buat dahulu,” gesa beliau.
Menyebabkan akibat yang berantaian
Yang Dipertua DUN Kelantan itu berkata, apabila berlaku keadaan demikian, ia memperlihatkan Mahkamah Syariah telah menjadi hina dan Sultan menjadi rendah disebabkan institusi tersebut berada di bawah bidang kuasa Sultan.
“Sebelum nak menjadi undang-undang, kena lulus dalam Dewan Negeri. Sultan yang ‘signed’. Kalau ia ditolak dan tidak boleh digunapakai, di manakah terletaknya maruah Raja kita? Raja yang menjadi ketua agama, maruahnya terletak di mana?
“Ada yang kata, ‘ini sebab kerajaan negeri la yang silap’. Habis itu, Sultan yang ‘signed’, jadi Baginda pun buat silap juga ke? Nak buat undang-undang ini bukan di kedai kopi, bukan dalam ‘WhatsApp group’, tetapi ada jawatankuasanya.
“Ada sekali hakim, pakar agama, pengamal undang-undang dan peguam. Mesyuarat pula berpuluh-puluh kali. Namun, ada yang kata kerajaan negeri buat silap. Eh… nak buat undang-undang ini bukan seperti buat (cucur) jemput-jemput,” ujarnya.
Menurut beliau, apabila undang-undang yang ada di Kelantan itu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan kesannya adalah ke atas perundangan sama di Pulau Pinang, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan bahkan semua negeri di Malaysia.
“Sebab undang-undangnya hampir seragam di seluruh negeri. Ibarat bermain enjit-enjit semut, apabila pecah sebutir, pecahlah semua,” ujarnya menjelaskan kesan domino apabila batal dan tidak sah Enakmen Jenayah Syariah itu.
Perkara tersebut serunya, perlu sama-sama difikirkan umat Islam sebagai cabaran terhadap agama yang semakin membesar di mana ia menjadi tanggungjawab kepada semua tidak mengira parti untuk terlibat membela agama kita.
“Kalau bukan kita, siapa lagi? Orang yang tidak suka terhadap Islam disebut sebagai golongan liberal. Mereka ada perancangan besar di tanah air kita nak membuang undang-undang Islam. (Kalau) Mereka nampak orang Islam pun tidak tahu nak ke mana, maka makin beranilah.
“Kali ini mereka berjaya, selepas ini janganlah terkejut kalau negeri lain pun menghadapi masalah yang sama. Sekarang, majlis agama pun tidak berani untuk mengambil tindakan susulan kes di Kelantan ini.
“Di Kelantan, Mahkamah Persekutuan telah mengisytiharkan tidak sah, maka negeri lain pun tidak boleh mengambil tindakan. Sebab peruntukan undang-undang adalah sama. Apabila tindakan tidak boleh diambil, maka tiadalah nilai,” terangnya.
Syariah tidak sama dengan Sivil
Dato’ Mohd Amar menegaskan lagi, ada perkara yang tidak serupa antara Islam dan bukan-Islam, termasuk apabila dibandingkan jenayah menurut Islam juga tidak serupa dengan jenayah takrifan Barat.
Contoh diberikan beliau ialah judi mengikut sivil di mana kegiatan itu tidak dibenarkan jika tiada lesen atau disebut sebagai judi haram, sebaliknya jika ada lesen, ia menjadi halal menurut perundangan sivil, begitu juga arak dan zina.
Namun terang beliau, berbeza dengan Islam di mana sama ada mempunyai lesen atau tidak, judi dan arak tetap haram, begitu juga zina atau persetubuhan di luar nikah, sama ada setuju atau tidak, ia tetap termasuk dalam takrif zina.
Mengikut sivil kupasnya, zina menjadi suatu kesalahan sekiranya pelaku itu di bawah umur 16 tahun dan dia tidak bersetuju, maka kesalahan itu disebut sebagai rogol atau dalam kitab fekahnya disebut sebagai zina.
Tetapi bagi undang-undang sivil, jika pelaku itu berumur 16 tahun ke atas dan dia bersetuju, maka tidak menjadi suatu kesalahan, sebaliknya di sisi Islam perlakuan itu tetap salah sebab berzina, walau wujud persetujuan macam mana sekali pun.
“Inilah perkara yang kita tidak fahami. Betapa berbezanya yang agama dengan tidak. Kita salah dalam menganggap bahawa Mahkamah Sivil adalah sama dengan Mahkamah Syariah.
“Kalau Mahkamah Syariah tidak boleh menghukum atau menangkap pesalah, akhirnya semakin barahlah kes zina, judi dan minum arak. Sebab mengikut sivil tiada masalah, asalkan ada lesen.
“Ikut sivil suka hatilah nak minum sampai pecah perut pun atau nak berjudi sehingga ke waktu pagi sehingga rumah dan isteri tergadai pun. Inilah perbezaan antara sivil dan syariah,” ujarnya.
Faham agama, buktikan iman
Kerana itulah serunya, umat Islam perlu kepada asasnya iaitulah memiliki ilmu agama kerana pertembungan umat akhir zaman ialah pertembungan ilmu di mana hendak membawa Islam pun mesti dengan ilmu.
Tegasnya, hendak mematahkan hujah orang menentang Islam pun mesti dengan ilmu sepertimana ulama terdahulu yang menghasilkan bermacam-macam kitab kerana pada ketika itu berlaku pertembungan dengan Tamadun Greek Purba.
“Yang sarat dengan ilmu falsafah seperti Aristotle, Socrates dan lain-lain. Hari ini pun zaman teknologi maklumat. Kalau kita bergerak perlahan, kita akan tenggelam dengan hujah orang dan kalah. Jadi, hujah kita mesti gagah supaya kita boleh berbahas dan mengalahkan hujah orang bukan Islam,” peringatnya.
Dato’ Amar berkata, sebab itu juga dalam kes Nik Elin, ramai menyokong dan mengulas masing-masing tidak tahu kebenarannya, termasuk membahas dengan membawa info daripada orang lain, tanpa diri sendiri memahami.
Kerana itu jelasnya, penting memiliki ilmu dan kefahaman agama dan tidak memadai sekadar hanya Islam pada nama tetapi tiada jika agama di mana seseorang juga boleh dinilai dari luaran atau pemakaiannya.
Terang beliau, dari pemakaian bukan sahaja boleh dikenali antara lelaki atau perempuan, tetapi juga keimanan di mana jika ia wujud di dalam jiwa, maka pemakai akan mengikut syariat atau sebaliknya.
“Contohnya, kalau kita sayangkan seseorang, apa bukti sayang? Kalau cintakan seseorang, apa buktinya? Ada diberi sebentuk cincin, sepucuk surat atau sepasang baju? Cinta ini di dalam hati, bercakap di mulut sahaja boleh, tetapi kena dibuktikan.
“Kalau kita kata kita beriman, betul iman di dalam hati, tetapi benda di dalam hati ini orang tidak nampak. Nak membezakan adalah dengan syahadah sebagai bukti. Namun, tidak cukup sekadar itu.
“Bukti lain adalah dari segi percakapan, perbuatan dan pemakaian. Kebiasaannya kalau tengok pada cara pemakaian, kita sudah boleh agak. Jadi, tidak peliklah kalau dibuat benda-benda yang pelik sebab cara pemakaiannya begitu.
“Perkara ini harus difahami dengan baik sebab amat besar dari segi agama. Kita nampak kecil sahaja bab pertikaian undang-undang ini, tetapi implikasinya sangat besar. Dengan apa yang terjadi pada hari ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/2/2024
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment