MELAKA – Semua sekolah digalakkan menjadikan tapak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam aktiviti pembelajaran luar bilik darjah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendekatan itu dapat mengukuhkan nilai insaniah dalam kalangan murid-murid dan guru sekolah bagi memelihara warisan kita.
Beliau yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia berkata, integrasi pendidikan, budaya, dan warisan adalah penting untuk memelihara dan mempromosi khazanah negara.
“Sebab itulah Kementerian Pendidikan (KPM) menyeru komitmen sekolah ke arah usaha penting ini dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri untuk melaksanakan program sebegini.
“Ini adalah untuk kelestarian dan juga menghidupkan budaya dari segi pemeliharaan dan kesedaran tentang sejarah yang perlu anak-anak kita ikuti menjadi sebahagian pembelajaran di peringkat KPM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan tapak pada Program Warisan UNESCO
di Bukit Melaka, Banda Hilir, di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Fadhlina berkata, langkah itu juga adalah selaras dengan agenda pendidikan untuk pembangunan lestari yang dianjurkan UNESCO serta pendidikan berkualiti di bawah SDG4-Education 2030.
KPM, katanya, telah menganjurkan pendekatan dengan mengutamakan Pendidikan Manusiawi dan Pembangunan Karakter yang menerapkan nilai-nilai murni dalam diri murid dalam menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat.
“Kita semua, terutamanya guru-guru dan murid-murid secara tidak langsung merupakan Duta Warisan Budaya
Malaysia yang mempunyai tanggungjawab sama.
“Ia adalah memastikan khazanah warisan dan budaya kekal terpelihara termasuk Melaka merupakan pusat kegiatan bagi pelbagai Warisan Tidak Ketara yang telah diiktiraf oleh UNESCO,” katanya.
Menurutnya, Dondang Sayang, silat, pantun dan Perayaan Wangkang serta Kebaya sedang dinilai oleh UNESCO untuk diiktiraf sebagai Warisan Tidak Ketara UNESCO tahun ini. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment