Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan ketika dihubungi, berkata KKM akan menjelaskan perkara itu tidak lama lagi.
"Kementerian, (atau) Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) akan beri maklum balas tidak lama lagi. Tak lama lagi, Insya-Allah," katanya kepada NST.
Beliau diminta ulas laporan oleh portal Code Blue yang ditulis oleh seorang pesara penjawat awam yang diberhentikan rawatan selepas 25 tahun menerima rawatan rapi di IJN.
Pesara itu, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, alasan yang diberi ialah arahan kementerian supaya semua penjawat awam dan pesara perlu discaj ke pusat jantung KKM berhampiran rumah mereka.
"Saya membantah kerana masalah saya sangat rumit; pakar kardiologi kanan IJN bersetuju dengan saya. Tetapi saya diberitahu bahawa tangan mereka terikat kerana kerajaan sedang mengurangkan kos.
"Saya juga mendapat tahu pesara dan penjawat awam lain di seluruh negara, beberapa bulan lalu turut mengalami nasib yang sama.
"Jadi, saya pulang ke rumah dan membuat persediaan untuk berjumpa doktor di pusat jantung KKM berhampiran rumah saya. Ini bukan mudah kerana saya terpaksa membuat janji temu dan klinik sibuk," katanya.
Pesara itu berkata, selepas lebih dua bulan beliau berjaya berjumpa doktor namun bimbang akan kehabisan ubat tidak lama lagi.
Lebih membimbangkan, pusat jantung yang berhampiran rumah pesara itu menyatakan, mereka tidak mempunyai kepakaran untuk mengendalikan kes beliau dan bilangan ubat yang terhad.
"Pakar kardiologi KKM kemudiannya berkata, dia akan menulis rujukan baharu untuk saya kembali ke IJN, dan saya perlu membuat janji temu dengan IJN sebagai pesakit baharu dan berharap mendapatkan kembali pakar kardiologi kanan yang sama.
"Ini akan menjadi satu lagi kerumitan dan mungkin menunggu dua hingga tiga bulan, atau lebih lama," katanya.
Bekas penjawat awam yang pernah berkhidmat selama 35 tahun itu meluahkan rasa kecewa terpaksa melalui kesusahan untuk rawatan perubatan.
Sementara itu, jurucakap IJN ketika dihubungi merujuk kepada pekeliling pada September tahun lalu mengatakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memerlukan rujukan daripada kerajaan, hospital atau klinik swasta untuk mendapatkan rawatan di IJN.
"Rujukan hendaklah dikeluarkan oleh pakar perubatan, pakar kardiologi atau pakar perubatan kecemasan. Pesakit dengan Insurans Hayat Berkelompok (GL) kerajaan boleh merujuk kepada pekeliling JPA Lampiran SR. 2.1.1 (G), yang disediakan dalam portal rasmi MyPPSM, atau berunding jabatan sumber manusia mereka untuk langkah-langkah yang perlu.
"Setiap agensi kerajaan mempunyai terma dan syarat untuk kelayakan dan perlindungan pekerja apabila mendapatkan rawatan di IJN," katanya.
Berdasarkan Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan 12/2002 Garis Panduan Rawatan Susulan di IJN untuk Pesakit Dibiayai Kerajaan, pesakit dibenar mendapatkan rujukan semula ke hospital 12 bulan selepas menjalani prosedur ataupembedahan.
"Ini dilakukan apabila pesakit memerlukan rawatan dan pengurusan susulan yang berterusan.
"IJN mematuhi garis panduan ini yang dikawal ketat oleh Kementerian Kesihatan. IJN kekal komited untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang cemerlang kepada kakitangan kerajaan dan pesara," katanya.
Sumber | BH Online
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment