Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menegaskan keputusan Lembaga Pengampunan perlu dihormati kerana ia dibuat mengikut undang-undang. |
PETALING JAYA: Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan digesa menjelaskan alasan di sebalik keputusan memendekkan hukuman penjara bekas perdana menteri Najib Razak daripada 12 kepada enam tahun.
Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata Lembaga Pengampunan tidak terikat menjelaskan keputusan itu, namun demi kepentingan awam ia perlu diberikan.
“Saya rasa ini adalah kes berkepentingan awam yang tinggi. Ia membabitkan seorang bekas perdana menteri dan masih ada pengikut dan terlibat dalam jenayah yang dianggap ramai rakyat Malaysia sebagai serius.
“Ini satu keputusan yang sukar, dan kita hormatinya kerana dibuat mengikut undang-undang. Saya rasa penting wakil lembaga menjelaskan alasan pengurangan itu diberikan,” katanya dalam satu program.
Sementara itu, Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi, berharap anggota Lembaga Pengampunan “tidak melepaskan diri” daripada tanggungjawab berhubung keputusan tersebut dan meletakkan beban pada bekas Yang di-Pertuan Agong.
“Lembaga Pengampunan perlu menyatakan alasan yang dibawa ke meja perbincangan ketika menasihatkan supaya hukuman Najib perlu dikurangkan,” katanya di media sosial X.
Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz, pula berkata rakyat perlu mendapat penjelasan mengenai keputusan lembaga itu yang dianggapnya sebagai “memalukan”.
“Jangan memilih dalam usaha melawan rasuah,” katanya di X.
Desakan untuk Lembaga Pengampunan memberi penjelasan turut disuarakan oleh dua peguam yang ditemubual FMT semalam.
Peguam perlembagaan Bastian Pius Vendargon berkata penting bagi Lembaga Pengampunan memberikan “sebab munasabah dan telus” mengenai keputusannya, kerana ia adalah kes diketahui secara meluas dan penting.
Peguam Charles Hector pula mengesyorkan semua keputusan Lembaga Pengampunan didedahkan kepada umum dan disertakan dengan penerangan ringkas.
Selain hukuman penjara dikurangkan, hukuman denda Najib turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50juta.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkata ia bersetuju Najib dibebaskan pada 23 Ogos 2028. Bagaimanapun, jika Najib gagal membayar denda RM50 juta, hukuman penjara ditambah setahun lagi.
Setiap negeri mempunyai Lembaga Pengampunan sendiri yang dilantik oleh sultan atau Yang di-Pertua Negeri. Untuk Wilayah Persekutuan, anggotanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan diketuai Agong dan mempunyai lima anggota iaitu peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan dan tiga lagi dilantik Agong.
Bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mempengerusikan mesyuarat lembaga itu Isnin lalu.
Sumber I FMT MALAYSIA
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment