GEORGE TOWN – Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang berpandangan tidak perlu terburu-buru mengeluarkan fatwa tentang hukum makan daging kultur sehingga diketahui secara jelas sumber sel tunjang atau penumbuhan tusuk daging tersebut.
Pengerusi Fatwa Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihaknya terlebih dahulu perlu memastikan bahan-bahan yang ditambah untuk penghasilan daging kultur itu serta kesannya ke atas kesihatan manusia sebelum mengeluarkan fatwa.
Beliau yang juga Mufti Pulau Pinang berkata, fatwa dalam isu sedemikian perlu didasarkan kepada beberapa kaedah fiqh seperti “Ad-dharar yuzal” (menghindari kemudaratan), “dar’ul mafsadah muqaddam ‘ala jalbil maslahah” (penyingkir kerosakan didahulukan daripada memperoleh kepentingan) dan sebagainya.
“Di samping itu, kita juga perlu menunggu fatwa atau pandangan daripada institusi-institusi fatwa berwibawa di peringkat global tentang isu ini seperti Asembli Fatwa Sedunia, Lembaga Fatwa Mesir di Universiti al-Azhar dan seumpamanya.
“Sehubungan itu, buat masa kini kita rasa dalam konteks negara masih belum terdesak untuk mengeluarkan fatwa yang muktamad dalam isu daging kultur ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam sebuah agensi berita Singapura melaporkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mendapati bahawa daging kultur secara amnya halal atau dibenarkan dimakan oleh orang Islam sekiranya ia memenuhi syarat.
Keputusan mengeluarkan fatwa tersebut sejajar dengan peningkatan penekanan sejagat terhadap pengeluaran makanan mampan.
Pada masa sama, ia juga bertujuan menangani kebimbangan masyarakat Islam mengenai memakan produk makanan baru seperti daging kultur. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment