NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes Iki Putra beri kesan domino, boleh jatuhkan undang-undang syariah – Zulkifli



KUALA LUMPUR – Kes Iki Putra Mubarak akan memberi kesan domino yang boleh menjatuhkan satu persatu undang-undang syariah peringkat negeri.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Islam) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, undang-undang syariah seolah-olah boleh disepak terajang dan dinyahkan walaupun hanya dengan mahkamah majistret atau mahkamah rendah sivil.

Beliau mendakwa, apabila pertembungan berlaku antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil – kes akan sentiasa berpihak kepada mahkamah sivil.

Menurut beliau, satu-satunya jalan bagi menyelamatkan undang-undang syariah adalah melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Ia adalah antara saranan 200 peguam yang telah menandatangani petisyen bagi mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan susulan kes Iki Putra.

Beliau menegaskan, sudah sampai masanya kerajaan memandang serius untuk memperkasa dan memartabatkan undang-undang syariah.

“Saya pasti semua umat Islam faham apabila 20 kesalahan syariah ini diputuskan tidak berperlembagaan, apa implikasinya kepada negeri-negeri lain.

“Perjalanan memperkasa undang-undang syariah ini bukan kerja sehari dua. Saya sedia maklum dan yakin, mana-mana menteri yang terlibat sama ada sebelum atau selepas saya, memberikan komitmen sepenuhnya untuk perjuangan ini.

“Ini masanya untuk kita bersatu kerana ia sudah menyentuh kuasa Sultan dan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam, begitu juga autoriti Mahkamah Syariah,” katanya dalam kenyataan.

Zulkifli berkata, semasa beliau menjadi anggota Kabinet walaupun Malaysia dilanda musibah pandemik Covid-19 keperluan memperkasa, menyeragamkan dan menambahbaik sistem kehakiman dan perundangan syariah sentiasa diberi perhatian utama.

Sekitar tahun 2020 dan 2021, terdapat 28 buah Rang Undang-Undang/Kaedah-Kaedah yang diusahakan oleh kerajaan dan sebahagiannya telah hampir disempurnakan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Ini tidak termasuk tujuh pindaan akta sedia ada yang berlangsung pada tahun-tahun tersebut dalam Pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Persekutuan yang disasarkan sehingga 2025.

“Akhir kalam, saya mengharapkan janganlah isu memperkasakan mahkamah syariah dan penggubalan undang-undangnya menjadi makin melemah dan akhirnya mati di tengah jalan,” katanya memberikan ingatan.

Media sebelum ini melaporkan, Iki Putra telah didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi.

Namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, Iki Putra mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Kes beliau akan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan pada 17 Ogos ini bagi mencabar kesahihan enakmen jenayah syariah.-MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2023/08/04/kes-iki-putra-beri-kesan-domino-boleh-jatuhkan-undang-undang-syariah-zulkifli/




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo