NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan digesa batalkan Konsert Ed Sheeran di KL




KUALA LUMPUR:
 Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital digesa untuk menghormati fatwa dan pandangan para mufti yang sudah pasti memberikan pandangan hukum-hakam berkaitan syarak demi kebaikan kita umat Islam.

Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya menyokong dan mendokong sepenuhnya pandangan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Menurut beliau, Dr Wan Salim telah menggesa agar pihak kerajaan mengambil kira secara serius pandangan mufti sebelum membenarkan sebarang acara hiburan termasuk konsert diadakan.

“Mufti Pulau Pinang juga turut menyeru agar umat Islam memulaukan sebarang konsert yang menyanggahi syariat Islam dan mengingatkan umat Islam ditegah untuk bekerjasama dalam perkar membawa dosa dan maksiat seperti dinyatakan di dalam al-Quran.

“Apa yang sangat dikesali, Kerajaan Madani ini langsung tidak mempunyai sensitiviti dan sangat jinak untuk membiarkan penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang jelas mempamerkan sokongan mereka terhadap LGBT,” ujarnya.

Pada 24 Februari nanti akan berlangsung sebuah konsert antarabangsa, Ed Sheeran yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil di mana tiket-tiket sedang dijual pada masa kini dengan harga serendah RM198 sehingga RM1,388.

Katanya, apabila tiket sudah dijual bermakna kebenaran penganjuran sudah pun diberikan dan menegaskan bahawa apabila Mufti sangat risau dengan penganjuran konsert ini sudah tentu ada sebabnya.

“Ed Sheeran merupakan seorang individu yang jelas menyokong budaya luar tabiee iaitu LGBT, malah pernah membalutkan dirinya dengan bendera pelangi yang cukup sinonim dengan kelompok LGBT sewaktu mengadakan konsert sebelum ini. Cukup bahaya!

“Sebelum ini, kami turut menentang keras penganjuran konsert band Coldplay yang terkenal dengan pembawakan LGBT. Namun, mengapa kerajaan seolah-olah tidak serik dengan masih membiarkan artis luar yang terpalit dengan budaya sonsang ini datang ke Malaysia?

“Ibarat bapa kencing berdiri, anak kencing berlari. Rakyat Malaysia sungguh kecewa dengan pendirian Perdana Menteri yang sebelum ini tidak ambil kisah dengan suara rakyat untuk membatalkan konsert Coldplay.

“Malah lebih mengecewakan, PMX sendiri mengalu-alukan kedatangan Coldplay ke Malaysia. Adakah kerajaan sedang menormalisasikan sesuatu?” soal beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia.

Ustaz Sukri turut merakamkan penghargaan kepada Mufti Pulau Pinang kerana tegas memberikan pandangan untuk kebaikan ummah dan mengingatkan kerajaan dan pihak yang terlibat agar tidak bersikap defensif untuk mempertahankan penganjuran konsert ini.

“Batalkan sahaja! Dewan Pemuda PAS Selangor juga menggesa Kerajaan PH-BN menghormati nasihat yang diberikan oleh para mufti dan ulama,” desak beliau.

Tempelaknya, sikap membakulsampahkan pandangan mufti ini menunjukkan PH-BN sebenarnya tidak ikhlas memperjuangkan Islam di tanah air tercinta ini.


Sumber | Harakahdaily



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo