KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Irama, Kelantan mengambil kesempatan menyantuni 23 armalah (ibu tunggal) dan tiga anak yatim Tionghua yang tinggal di kawasan itu, yang menyambut tahun baru Cina pada hari ini (10 Feb).
Senator Dr Wan Martina berkata, suasana Tahun Baru Cina kali ini wajar disambut dalam keadaan harmoni, semangat muhibah dan mempunyai jati diri sebagai rakyat Kelantan serta sentiasa saling tolong-menolong sesama masyarakat.
“Perpaduan yang dibina oleh rakyat Kelantan sudah terbukti amat erat dan kami hidup dengan harmoni,” katanya.
Selain itu, ujar beliau, bahasa dialek Kelantan telah menjadi salah satu alat yang signifikan dalam menyatukan kami antara satu sama lain.
“Keprihatinan kerajaan negeri Kelantan kepada masyarakat Bukan Melayu turut diambil berat. Ini dapat dibuktikan melalui lantikan politik di pelbagai peringkat untuk menjaga hal ehwal mereka.
“Antaranya, lantikan seperti Penghulu Mukim bagi mukim yang mempunyai penduduk Cina, Siam, dan India.
“Ahli Majlis dan lain-lain lantikan yang rapat dengan rakyat supaya pengurusan Hal Ehwal Bukan Melayu tidak ketinggalan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Masyarakat Bukan Melayu mendapat hak yang sama seperti orang Melayu. Contohnya, Skim Manfaat Armalah kepada ibu tunggal.
“Setiap armalah akan mendapat bantuan tunai one-offmengikut bilangan anak apabila kematian suami. Mereka juga diberikan bantuan one-off sekali setahun mengikut giliran,” kongsinya.
Tambah beliau, selain itu, Skim Khairat Kifaalah turut di salurkan kepada masyarakat Tionghua di Kelantan.
“Golongan yang berusia 55 tahun keatas layak dicarum dan manfaat akan diberikan kepada waris apabila si pencarum telah pun meninggal dunia,” jelasnya lagi kepada HarakahDaily.
Antara yang turut hadir meraikan masyarakat Tionghua di kawasan tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin; Pegawai Khas di Pejabat Menteri Besar Kelantan, Lau Chin Chua; dan Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Wanita Parlimen Bachok.
Penerima sumbangan telah menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 dan limau mandarin.
“Alhamdulillah, pemberian yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan masyarakat Tionghua di DUN ini dalam membuat persediaan menyambut perayaan Tahun Baru Cina,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2024
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment