NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kami ikhlas demi perpaduan ummah, PAS jawab Zahid

Hashim Jasin berkata PAS ikhlas jalin perpaduan dengan Umno selepas Zahid Hamidi menuduh parti itu sebaliknya dalam membuat tawaran menghidupkan semula Muafakat Nasional.



PETALING JAYA: PAS ikhlas menjalinkan perpaduan ummah melalui Muafakat Nasional (MN) dengan Umno kerana ia perintah Allah, kata Mursyidul Am Hashim Jasin.

Beliau menegaskan perpaduan ummah bukan ciptaan PAS tetapi  suruhan tuhan.

“Tak hanya kepada PAS dan Umno, dan bukan hanya di Malaysia atau di tempat tertutup tapi seluruh alam. Tidak adil saya kira jika Umno tutup pintu perpaduan ummah,” katanya kepada FMT.

Beliau menjawab tuduhan Presiden Umno Zahid Hamidi bahawa PAS tidak ikhlas menawarkan kerjasama menghidupkan semula MN.

Dalam majlis di Cyberjaya kelmarin, Zahid turut mengingatkan PAS bahawa mereka yang “keluar” daripada kerjasama itu.

“Yang keluar MN itu bukan Umno. Mereka yang keluar…mereka yang menikam kami dari belakang.

“Mereka yang membuat kerenah melebihi apa yang kami setujukan. Saya tak fikir mereka ikhlas dalam membuat tawaran itu,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Hashim mempersoalkan tindakan Umno menolak kerjasama MN kerana rakan komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu dan Gerakan boleh menerima tawaran berkenaan.

“Oleh itu, kita tetap berpegang agenda perpaduan ummah. Tak patut kita tutup. PAS tak pernah tutup, bukan sahaja untuk Melayu Islam tapi terbuka kepada semua,” katanya.

Pada 14 Feb lalu, Hashim “yakin” ada perbincangan secara tidak langsung antara pimpinan PAS dengan Umno bagi menghidupkan MN, digagaskan ketika kedua-duanya dalam blok pembangkang sebagai usaha penyatuan ummah pasca PRU14 yang dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Kenyataan Hashim bagaimanapun dibidas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi keesokannya, dengan berkata partinya sudah “tutup buku” mengenai kerjasama MN dengan PAS.

PAS dan Umno melalui pertikaian berpanjangan mengenai MN apabila saling menuduh mengabaikan piagam kerjasama dimeterai mereka hampir lima tahun lalu.

Hubungan parti tersebut tegang apabila PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) pada 2020 yang diterajui Bersatu, sekali gus mahu parti serpihan Umno itu turut menyertai MN.

Umno membantah keras tindakan PAS itu kerana menganggap Bersatu pengkhianat yang berusaha “membunuhnya”.


Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo