NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kaedah agama niat tidak menghalalkan cara

Penghakiman Mahkamah Persekutuan yang membatalkan nakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 pada 9 Feb lalu telah mencetus banyak pandangan, kritikan dan sendaan pelbagai pihak.


KUALA LUMPUR: Terdapat kaedah dalam agama yang menegaskan bahawa niat tidak menghalalkan cara sekiranya maksud yang hendak dicapai adalah baik; namun, jika cara atau wasilahnya tidak baik, maka ia dilarang atau ditegah.

Ketua Pengarah IKIM, Profesor Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, penghakiman Mahkamah Persekutuan membatalkan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan pada 9 Feb lalu telah mencetus banyak pandangan, kritikan dan sendaan dalam pelbagai media dengan motif dan niat yang pelbagai. 


Penggunaan media terutamanya media sosial ini menurutnya, bukan sahaja telah disalahgunakan bahkan juga sebahagiannya melangkaui batas akhlak dan adab, dan ia dapat dilihat melalui kandungan yang menghina, mencemarkan dan menjatuhkan maruah. 

“Dalam masyarakat yang matang dan menjunjung kebebasan media dan idea, pandangan membina sangat penting dalam proses kemajuan dan kepentingan hidup bersama dalam sebuah negara,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini, pada hari ini..

Pandangan membina ini pula, ujar beliau, sudah tentu berasaskan kejernihan akal, kematangan fikiran dan keluhuran budi serta akhlak. 

“Ketertiban dan kesopanan dalam segenap aspek termasuk berbicara atau menyuarakan pandangan bukan sahaja dijunjung sebagai rukun negara tetapi juga  amat dipentingkan dalam Islam.

“Oleh yang demikian, kita dapat melihat apabila tular atau tercetusnya sesuatu isu, termasuklah kes pembatalan undang-undang syariah tersebut, terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan membuat kandungan yang amat tidak wajar. 

“Bukan sahaja tujuannya yang dipertikaikan, iaitu untuk mendapatkan penonton, pengikut dan sebagainya tetapi kesannya kepada masyarakat umum juga dibimbangkan,” hujah beliau.

Tambahnya, merujuk beberapa video pendek yang tular di media sosial, dapat dilihat bagaimana penghinaan diberikan kepada agama Islam, institusi perundangan, undang-undang syariah malah orang Islam sendiri yang disampaikan melalui sendaan.

Kesalahan menurutnya, seperti minum arak, main judi, nombor ekor dan liwat dipersendakan melalui sindiran sebagai ‘tidak salah’ dan dipermain-mainkan dari sisi hukum syariah.  

“Ungkapan seperti ‘minum arak siapa kata salah walaupun orang Islam?’, ‘boleh main judi atau ekor…’ dan ‘liwat suka sama suka…’ tidak wajar dijadikan sendaan atau sindiran hatta berasaskan niat untuk menyampaikan kritikan,” jelas beliau.

Beliau menyatakan lagi, dalam hubungan ini  pihak berwajib agama menasihati agar mereka yang melakukan perkara yang sedemikian bertindak segera mengeluarkan kandungan yang seumpamanya.

Menurutnya, hal ini disebabkan kandungan seumpama itu bukan sahaja merendahkan akhlak sendiri tetapi juga mencemarkan agama apatah lagi dalam kalangan orang yang bukan beragama Islam.

“Sehubungan itu, IKIM memohon agar semua pihak berkenaan menghormati kebebasan bersuara dengan cara yang lebih matang dan berhemah. 

“Di samping itu, batas adab dan akhlak serta etika kebebasan bersuara dan keluhuran perundangan Islam di negara ini dipelihara sebaik mungkin. 

“Semoga catatan ini boleh mengubah hasrat dan persepsi masyarakat agar kandungan berbentuk murahan dan memalukan dengan menggadai maruah dan kehormatan Islam atau syariah ditolak dan dielakkan,” katanya.  HARAKAHDAILY  14/2/2024





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo