KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengesahkan akan ada keterangan saksi pendakwaan daripada bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan dalam perbicaraan penyelewengan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion membabitkan Datuk Seri Najib Razak.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan sepina untuk Jasmine tampil memberikan keterangan bermula 13 Februari ini.
Sebelum ini, ketika sesi prosiding, pendakwaan memutuskan untuk memanggil peguam kontroversi itu dibuat susulan keterangan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min.
Wei Min pernah bersetuju keterangan Jasmine itu mungkin boleh menyelamatkan Najib atau menyebabkan bekas Perdana Menteri itu disabitkan atas tuduhan jenayah berkenaan.
Katanya, Jasmine juga akan menjadi saksi penting yang boleh mendedahkan isu berkaitan Tanore Finance Corporation iaitu entiti yang didakwa memindahkan AS$681 juta ke akaun bank bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan.
Pendakwaan mengemukakan keterangan Tanore dikawal oleh ahli perniagaan Eric Tan Kim Loong iaitu sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai sebagai Jho Low.
Sebelum ini juga Wei Min berkata, Jasmine dan beberapa bekas pegawai 1MDB bertemu Jho Low dan beberapa bekas pegawai 1MDB di China lima tahun lalu ketika sesi soal siasat pada Ogos dan September tahun lalu.
Jasmine yang dianggap pembantu peribadi Jho Low juga dikatakan antara sekutu rapat suspek dalam buruan yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.
Wanita itu ditahan polis pada 7 Julai tahun lalu selepas pulang ke tanah air.
Dalam pada itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengingatkan pasukan pendakwaan supaya sentiasa menyediakan saksi tambahan andai saksi lain tidak hadir.
Ini selepas saksi ke-49, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin diberikan sijil sakit dua hari kerana selesema dan demam hari ini dan esok.
Bagaimanapun prosiding tidak dapat diteruskan kerana tidak ada saksi lain yang berada dalam keadaan bersedia bagi prosiding 1MDB hari ini.
Hakim kemudian menangguhkan prosiding kepada Rabu depan.
Ketika ini, Najib yang juga bekas Presiden UMNO sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment