MUHYIDDIN ketika ditemui selepas sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Pagoh di Bukit Pasir, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
MUHYIDDIN ketika ditemui selepas sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Pagoh di Bukit Pasir, hari ini. FOTO Alias Abd Rani

Muar: Jangan menyibuk. Itu peringatan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal susulan dakwaan akan ada beberapa Ahli Parlimen terutama parti itu memberi sokongan kepada Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Syed Abu Hussin berhak untuk bercakap apa saja namun beliau mahu memberi tumpuan kepada memperkukuhkan serta menjaga prinsip partinya.

"Dia (Syed Abu Hussin) seorang ahli parti tidak bertanggungjawab, dah keluar pun dari parti. Yang penting kita terus beristiqamah, tegas pendirian.

"Kita pun akan buat pindaan perlembagaan parti tidak lama lagi dan ini mampu mengukuhkan kedudukan parti," katanya selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Pagoh di Bukit Pasir, hari ini.

Selain Syed Abu Hussin, lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan terbaru Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Syed Abu Hussin sebelum ini berkata, 10 lagi Ahli Parlimen pembangkang dari Bersatu akan mengumumkan sokongan kepada Anwar.

Beliau mendedahkan, ia membabitkan lima Ahli Parlimen dari kawasan utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta tiga dari kawasan timur iaitu masing-masing Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Selain itu, kawasan tengah pula membabitkan seorang Ahli Parlimen dari Melaka dan seorang lagi Ahli Parlimen dari Selangor.

Sumber asal | Meteo