NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu tapak UNESCO: Kecewa kenyataan MB Selangor



GOMBAK: “Saya benar-benar kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Selangor baru-baru ini yang menyatakan bahawa  jangan politikkan isu perkauman mengenai pencalonan Kampung Baru Cina sebagai tapak UNESCO.”

Seorang penduduk Kampung Taman Rawiyah Sulaiman Jaya, Muhamad Yusof Sulaiman berkata demikian sambil menambah, tidak timbul isu berkenaan dipolitikkan.

“Namun, apa yang menimbulkan polemik adalah  semakin banyak perkampungan Melayu di kawasan Gombak Utara dimusnahkan untuk tujuan laluan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya.

Dia menyatakan pada masa ini telah mula menyaksikan banyak kenderaan berat lalu lalang di seluruh kawasan tersebut, sehingga menimbulkan rasa kurang senang terhadap penduduk kawasan kampung itu sendiri.

Menurutnya, banyak perkampungan Melayu di kawasan Gombak Utara yang mempunyai nilai sejarah yang berpotensi untuk dilindungi di bawah tapak UNESCO kerana berusia lebih daripada 100 tahun.

“Namun, Menteri Besar Selangor fikir kami cuba nak politikkan isu ini sedangkan kami sebenarnya ada hak untuk mempertahankan tanah kami yang sememangnya di bawah Tanah Rizab Melayu,” katanya kepada HarakahDaily.

Dia juga mempersoalkan tindakan Menteri Besar Selangor yang didakwanya bersifat berat sebelah kerana hanya memenangkan satu pihak sahaja yang mana kampung baru Cina cuba dijadikan sebagai tapak UNESCO tetapi dengan cubaan merobohkan perkampungan-perkampungan Melayu itu sendiri.

Tambahnya, dengan perobohan Kampung Sungai Chinchin baru-baru ini untuk projek ECRL, ia seolah-olah ingin menunjukkan penduduk kampung kawasan tersebut tidak mempunyai hak untuk mempertahankan tanah mereka.

“Ini memberikan kesan emosi yang besar kepada saya dan penduduk-penduduk kampung ini kerana seharusnya kerajaan perlu melindungi kami semua sebagai rakyat negara ini dan kami bukannya warga asing,

“Sebaliknya pula yang terjadi yang mana kami sahaja yang terpaksa membantu antara satu sama lain kerana kerajaan negeri sendiri pun tidak peduli mengenai nasib kami. 

“Perkampungan Melayu seperti Kampung Sungai Chinchin yang telah diasaskan oleh seorang ulama bernama Syeikh Muhamad Nor al-Kholidi (1894-1932) masih lagi wujud sehingga kini,” katanya.

Dia menyatakan perkampungan tersebut telah dijaga dan dipelihara oleh keturunan-keturunan beliau yang sememangnya perlu dilindungi kerana telah menyatukan orang-orang melayu di kawasan itu sendiri berasaskan agama Islam.

“Jasa Syeikh Muhamad Nor al-Kholidi ialah berjaya menyatukan perlembagaan Islam dengan perlembagaan British dan melalui perkara tersebut wujudnya Tanah Rezab Melayu yang bertujuan untuk melindungi hak-hak bangsa Melayu itu sendiri.

“Namun begitu, dengan mudahnya kerajaan negeri melakukan perobohan terhadap kawasan tersebut padahal Kampung Sungai Chinchin ini yang lebih utama dijadikan tapak UNESCO dan bukannya kampung baru cina semata-mata,” tegasnya.

Dia menyatakan tidak ramai ulama yang mampu melakukan perkara sebegini kerana beliau berjaya menggesa kuasa British untuk melakukan akta sedemikian yang masih kekal dalam apa jua keadaan.

Namun begitu, dia dapat melihat semakin ramai bangsa Melayu pada hari ini telah mula hilang tanah akibat daripada dibelenggu oleh pelbagai hutang.

“Sekarang dengan keadaan ekonomi yang teruk menyebabkan semakin susah untuk mendapatkan tanah yang mana ramai orang hidup telah pun menjadi hamba pelbagai hutang.

“Oleh sebab itu saya amat setuju untuk tidak mempunyai apa pun hutang dan menyeru seluruh penduduk Gombak Utara supaya pertahankan tanah yang ada supaya setiap keturunan kita tidak perlu merempat di bumi sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY  12/2/2024




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo