NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Najib: Rakyat berhak persoalkan keputusan




KOTA BHARU: PAS memohon Kerajaan Madani perlu menjelaskan keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak jika terdapat sebarang isu dibangkitkan di dalam atau di luar parlimen.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rakyat berhak mempersoalkan keputusan itu bagi menjawan keraguan yang bersarang dalam fikiran dalam kalangan mereka.

“Pengampunan yang diberikan kepada Datuk Seri Najib adalah proses undang-undang berdasarkan perlembagaan dan kita tidak boleh mengulas lebih daripada apa yang diputuskan.

“Namun,  ia agak memeranjatkan. Saya rasa ini kali pertama dalam sejarah Lembaga Pengampunan membuat keputusan sedemikian,” katanya.

Tambah Takiyuddin, sebelum ini pengampunan sepatutnya dibebaskan daripada penjara tetapi kali ini dikurangkan. 

Menurutnya, apa yang berbeza pada 2018, Lembaga Pengampunan memberi pengampunan kepada perdana menteri sekarang di mana kenyataan itu dikeluarkan oleh Istana Negara, tetapi kali ini kenyataan itu dikeluarkan oleh kerajaan iaitu Menteri Undang-undang.

“Jadi kami tidak pasti prosedur mana yang betul,” kata Takiyuddin.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian kepada media ketika hadir pada majlis penyerahan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi, di sini.

Ang pow dan limau mandarin itu diserahkan kepada orang ramai oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Takiyuddin berkata lagi, beliau yakin keputusan Lembaga Pengampunan itu tidak dijangka oleh mana-mana pihak.

“Sebelum ini, tiada siapa yang tahu proses Lembaga Pengampunan tetapi kali ini mengambil masa yang lama sebelum lembaga itu bersidang dan orang ramai sudah bercakap mengenai pengampunan ini.

“Ia agak luar biasa. Keputusan lembaga telah ditangguhkan. Ini menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai.

“Ada pihak (bukan dikalangan PAS) yang bertanya atas dasar apa keputusan itu dibuat sehingga menerbitkan pelbagai andaian,” tegasnya.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan ‘istana’ (terserah pada agong) sebagai alasannya sehingga keputusan itu dibuat.

Ini kerana, tambahnya yang menjadi urusetia kepada Lembaga Pengampunan adalah kerajaan iaitu Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

“PAS bagaimanapun menerima keputusan itu dan berharap kerajaan bersedia memberi penjelasan sekiranya disoal termasuk dalam Parlimen,” katanya.

Semalam, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, memutuskan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan pengurangan 50 peratus, manakala denda yang perlu dibayar juga dikurangkan.

Justeru, menurut kenyataan lembaga itu lagi, Datuk Seri Najib ‘dipersetujui’ dibebaskan pada 23 Ogos 2028 dan denda RM210 juta yang perlu dibayar dikurangkan kepada RM50 juta.

Sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bekas perdana menteri itu akan ditambah selama setahun, menurut kenyataan itu lagi.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022 setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.  HARAKAHDAILY  3/2/2024



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo