PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberi jaminan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancarkan pada Selasa tidak mengekang kebebasan media dalam pelaporan berita.
Sebaliknya menurut beliau, kod etika itu yang dibangunkan kerajaan bersama akademik dan organisasi media adalah mengikut keperluan semasa dan perkembangan teknologi.
"Kod ini tidak mengekang media kerana ia telah wujud sejak tahun 1989 dan kita hanya melakukan penambahbaikan," katanya menerusi sidang akhbar selepas peluncuran kod berkenaan di sini pada Selasa.
Namun demikian, beliau berkata tidak ada kebebasan yang mutlak bagi mana-mana individu atau organisasi untuk membuat kenyataan yang tidak benar.
"Dalam konteks ini, undang-undang sedia ada memadai untuk memastikan ketenteraman awam tidak terancam," jelas Fahmi.
Menurutnya, wartawan dan organisasi media perlu bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang sahih.
"Ini kerana kita dapati dalam era media sosial yang ada pada hari ini, internet laju ada kalanya fitnah diterbitkan dengan lebih laju.
"Maka usaha kita menyampaikan berita yang betul dan sahih yang mana fakta-faktanya telah disemak," ujarnya.
Fahmi berkata, sebaran berita palsu perlu dikekang bukan hanya dengan penerbitan berita yang tepat tetapi perlu ada usaha untuk meningkatkan kesedaran.
"Seringkali maklumat itu disalah tafsir atau dipalsukan adalah dengan kali pertamanya meletak logo atau format yang biasa dilihat di laman web tetapi teks diedit.
"Sebagai contoh saya biasa tengok di laman web Sinar Harian, saya akan tahu akhbar berkenaan menggunakan 'font' sekian, tetapi jika saya membaca dengan 'font' berbeza, ada kemungkinan ia salah," katanya.
Tambah beliau, organisasi media kini dilihat cenderung melapor berita menerusi pelbagai platform yang lebih pantas.
“Saya secara peribadi cakna dan rasa perubahan teknologi yang berlaku mendatangkan kesan kepada industri atau syarikat media.
"Ramai mengadu kepada saya sebagai contoh jumlah yang dibelanjakan untuk iklan setiap tahun berkurangan dan lebih banyak dibelanjakan ke arah media sosial maka, di sini perlu ada satu bukan hanya perbincangan tapi para wartawan dilengkapkan peralatan yang ingin dinikmati para pembaca.
"Di situ kita lihat konteks pembaca hari ini berapa ramai menonton konten berbanding membaca,” jelasnya.
Etika Kewartawanan Malaysia yang diterbitkan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) itu menggariskan lapan kod antaranya adalah wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk; wartawan hendaklah telus dan berintegriti dan wartawan juga digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
Setakat 16 Februari 2024, seramai 9,750 pengamal media berdaftar dengan Kad Perakuan Media JaPen, melibatkan 152 agensi media.
Empat daripadanya merupakan media rasmi kerajaan, 38 media tempatan, 60 media dalam talian dan 50 media antarabangsa.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment