KUALA LUMPUR: Enam Ahli Parlimen BERSATU yang beralih pendirian dengan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata perkara penting Ahli Parlimen berkenaan yang perlu lakukan sekarang adalah menyatakan secara bertulis bahawa mereka masih kekal ahli parti terbabit.
"Pada saya selagi mereka kata tidak 'lompat', dia tidak meninggalkan partinya, nyatakan secara bertulis yang mereka masih ahli BERSATU, dia sokong PM (Perdana Menteri). Jadi apa masalahnya?" jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab dengan media sempena perjumpaan bersama ketua pengarang media dan agensi berkaitan pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut kemelut yang melanda BERSATU, Johari menegaskan bahawa beliau tidak mahu campur tangan urusan parti itu.
Namun, beliau menjelaskan, Ahli Parlimen berkenaan boleh menukar tempat duduk dalam Dewan Rakyat jika mahu berbuat demikian.
"Ada dalam peraturan mesyuarat, juga hak Yang Dipertua Dewan Rakyat, atas permohonan Ahli Parlimen, saya boleh melayan permintaan mereka untuk tukar tempat duduk.
"Jika mereka mahu berpindah mereka boleh tulis kepada saya, email, atau mesej saya.
"Saya mahu pindah dari A ke B sebab saya tak suka jiran saya", atas sebab tertentu, selagi ada ruang," katanya.
BERSATU akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac ini antara lain bagi meminda perlembagaan parti itu susulan tindakan enam Ahli Parlimennya menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Datuk Seri Anwar.
Enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Mengulas mengenai terdapat usul tidak percaya pada sidang Parlimen kali ini, Johari berkata, setakat ini pejabatnya tidak menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas (2024) akan membuka tirai bermula 26 Februari hingga 27 Mac ini.
No comments
Post a Comment