1. Kesalahan jenayah di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan telah digubal berasaskan hukum syarak bersumber dari Al-Quran, Al-Hadis, Al-Ijmak dan Al-Qiyas. Penggubalan enakmen ini telah melibatkan pandangan Jabatan Agama, Mufti, Pendakwaraya, tokoh-tokoh Ulama’, para peguam dan pengamal perundangan negeri.
2. Proses penggubalan enakmen ni bermula pada tahun 2014 dan siap sepenuhnya pada tahun 2019 yang kemudiannya melibatkan kelulusan kuasa legislatif DUN Negeri Kelantan pada tahun yang sama dan disiarkan dalam warta melalui perkenan KDYMM Tuanku Sultan Kelantan pada 31 Disember 2020 dan berkuat kuasa pada 1 November 2021.
3. Namun yang menjadi pertikaian hari ini ialah kuasa Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam berkaitan jenayah seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan adalah kabur dan tidak jelas. Jadual Kesembilan Perlembagaan, Senarai Kedua tidak memperincikan satu persatu perkara tersebut dan mengundang polemik berpanjangan sehinggalah kesannya terdedah tafsiran secara perundangan.
4. Oleh kerana Islam berada di bawah bidang kuasa negeri, maka perundangan Islam berkaitan Hukum Syara' diletakkan di bawah Senarai Negeri melalui Kuasa Legislatif Dewan Undangan Negeri. Dengan mengambil punca kuasa perkara agama melibatkan umat Islam di bawah kuasa Raja sebagai ketua agama, Enakmen Kanun Jenayah Islam (I) 2019 Negeri Kelantan digubal mengikut kaedah bidang kuasa negeri.
5. Justeru penggubalan EKJS (I) 2019 Negeri Kelantan telah melalui proses perundangan mengikut bidang kuasa yang diberikan dan diperuntukkan Perlembagaan dengan mengambil rujukan kes di bawah hukum Syarak iaitu takzir.
6. Begitu juga, pihak yang mentafsirkan hukuman takzir bukan hukum Allah adalah tidak tepat kerana EKJS (1) 2019 Negeri Kelantan dibuat mengambil kira fekah jenayah melalui kaedah hukuman di bawah bidang kuasa megeri yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Dengan kata lain kesalahan jenayah dalam enakmen ini adalah menepati hukum syarak atas bidang kesalahan takzir, quantum hukuman yang terhad mengikut bidang kuasa negeri dan tertakluk kepada seluruh umat Islam di negeri Kelantan mengikut pemakaian kuasanya sahaja.
03 Syaaban 1445H / 13 Februari 2024.
7. Begitu pun juga adalah dangkal bagi mereka yang mempertikai dan meletakkan kesalahan kepada Kerajaan Negeri Kelantan setelah 16 Seksyen Enakmen berjaya dibatalkan oleh mahkamah seolah enggan mengiktiraf usaha Kelantan memartabat hukum Syariah. Ini kerana kewujudan dua sistem perundangan dalam negara atau "coexistence" nya bertujuan menyempurnakan satu dengan lain "completing each other" bukan "competing each other", bersaing antara satu dengan lain.
8. Semua pihak dalam kes EJKS (1) 2019 Kelantan terutama pimpinan Melayu Muslim tanpa mengira parti politik sepatutnya berperanan tanpa prejudis dalam mempertahankan hukum syarak serta tidak mempunyai agenda tersembunyi disebalik tangan-tangan jahat sehingga mengorbankan kebaikan untuk umat Islam.
9. Perbezaan ketara bidang dan kepakaran Mahkamah Sivil dan Syariah juga perlu diambil kira disamping kaedah sabitan kes yang berbeza mengikut amalan perundangan masing-masing. Undang-undang sivil dibuat berdasarkan kesalahan yang dilakukan mengikut situasi setempat manakala EKJS (1) 2019 adalah berdasarkan hukum Syarak melalui kesalahan takzir.
10. Walaupun Mahkamah berhak membuat keputusan melalui hujahan perundangan mengikut tafsiran Perlembagaan, namun Kelantan sebagaimana disebutkan oleh YB Dato' Timbalan Menteri Besar Kelantan sejurus menerima keputusan di Mahkamah Persekutuan, kecewa dengan keputusan yang dibuat. Kerajaan Negeri Kelantan akan segera bertindak dengan 'roadmaps' terkini mengikut situasi semasa untuk meneliti langkah terbaik yang berdasarkan lunas undang-undang demi kepentingan umat Islam.
11. Justeru, selain 'political will' pihak kerajaan serta sokongan rakyat Kelantan dalam memperkasa undang-undang Islam, saya percaya kesepakatan Pemerkasaan Syariah melalui Badan Perundangan Negeri perlu digerakkan semaksimum yang boleh. Saya juga percaya penglibatan Majlis Raja-Raja dalam mempertahankan bidang kuasa agama negeri melibatkan pemerkasaan Syariah dalam mendaya-upayakan kuasa legislatif DUN terhadap isu ini akan sentiasa diberi keutamaan.
Sekian, terima kasih.
YB Ustaz Mohd Asri Bin Mat Daud
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan.
03 Syaaban 1445H / 13 Februari 2024.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment