Menurut beliau kedudukan dan kuasa Mahkamah Syariah perlu dikembalikan ke tahap sekurang-kurangnya sebelum kes Iki Putra di mana tafsirannya lebih ketat dan tahap ambang atau ‘threshold’ jauh lebih tinggi dari sekarang.
Katanya, menerima keputusan mahkamah tidak bermakna perlu gembira, namun dibenarkan tidak puas hati yakni dengan mengambil langkah untuk membetulkannya melalui undang-undang.
“Contohnya sebelum tahun 1988 Mahkamah Sivil selalu mencampuri urusan Mahkamah Syariah. Ramai tidak berpuas hati ketika itu. Akibatnya Parlimen telah pinda Perlembagaan Artikel 121 (1A) untuk menggariskan dengan jelas persempadanan.
“Mahkamah Sivil tidak lagi menyentuh bidang kuasa Mahkamah Syariah. Begitu juga dengan kes Nik Elin, kalau kita tidak puas hati kita boleh ambil langkah-langkah untuk membetulkannya melalui undang-undang,” ujar Lukman di sosial media miliknya pada hari ini.
Rentetan keputusan mahkamah kes Nik Elin, beliau melihat ada yang mencadangkan untuk meminda enakmen jenayah syariah agar menepati keputusan kes Iki Putra dan Nik Elin di mana ia boleh dilakukan tetapi suatu langkah yang defensif dan tidak berbaloi.
“Kenapa saya kata begitu? Kerana seperti saya tulis, sejak Iki Putra, peruntukan syariah akan jatuh satu persatu. Pada tahun 2021, satu kesalahan sudah jatuh. Pada tahun ini, 16 kesalahan lagi telah jatuh. Selepas ini berapa pula akan jatuh?
“Sejak kes Iki Putra, mahkamah telah menetapkan tahap ambang atau ‘threshold’ yang mudah bagi jenayah syariah dibatalkan. Jadi mungkin tahun ini atau tahun akan datang banyak lagi cabaran akan diambil untuk mengambil peluang tahap ambang yang rendah ini.
“Jadi takkan setiap kali jatuh, negeri perlu pinda enakmen jenayah syariah. Letih, tidak berbaloi dan reaktif,” jelas beliau memberi pencerahan.
Perang naratif media
Menurut Lukman, selepas keputusan kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid berkaitan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan oleh Mahkamah Persekutuan, Jumaat lalu, media mereka semakin bergerak dengan kemas dan teratur.
“Kawan pempetisyen boleh mendapat berjuta tontonan dan beribu-ribu like (suka) untuk media sosialnya dan media perdana pun memihak mereka, jelas mesej mereka keluar meluas. Antara kita ramai yang baru nak menghadam kes Nik Elin.
“Ada yang pula terkeliru terikut-ikut naratif mereka. Misalnya naratif palsu ‘hukuman syariah terlalu rendah dan tak setimpal berbanding sivil, jadi bagus ia dibatalkan’ dikongsi meluas oleh kita sendiri,” kesal beliau.
Ulasnya, penerangan perlu banyak dibuat ketika ini untuk menjernihkan kekeruhan dan mesti jelas kes Iki Putra dan Nik Elin ini telah membuka ruang yang luas bagi peruntukan jenayah syariah dibatalkan.
“Bagi kebanyakan orang Islam (majoriti yang luar biasa) mereka mahu ditadbir oleh syariah termasuk jenayah syariah. Walaupun ia diskriminatori, jenayah syariah adalah sebahagian kompromi Perlembagaan yang asasnya kita telah persetujui.
“(Ia) sudah diamalkan sejak sebelum Merdeka, amalan ini hanya betul-betul tergugat sejak 2021 berikutan kes Iki Putra dan Nik Elin. Jadi apa yang kita mahu adalah untuk mengembalikan apa yang dipersetujui dan diamalkan sejak merdeka lagi,” ujar beliau.
Tambahnya, kedua-dua kes yakni Iki Putra dan Nik Elin mengancam cara hidup sebagai orang Islam di mana umat Islam tak boleh mengalah dan mesti istiqamah agar peruntukan syariah tidak jatuh lagi. – HARAKAHDAILY 16/2/2024
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment