NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ekonomi negara kini di ambang sangat membimbangkan?




KUALA LUMPUR:
 Kadar pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lalu dijangka berada pada tahap lemah apabila data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dikeluarkan pertengahan bulan ini.

Pensyarah Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata, jika jangkaan ini benar, bermakna ia tidak mencapai sasaran disasarkan di bawah Belanjawan 2024.

“Malah, ia juga jauh tersasar daripada sasaran ditetapkan di bawah Belanjawan Madani pertama, iaitu Belanjawan 2023. Tahun ini pula, pertumbuhan ekonomi negara dijangka bertumbuh di bawah 4 peratus.

“Apakah makna kenyataan itu kepada rakyat keseluruhan? Pertama, apabila pertumbuhan ekonomi, yang diukur melalui data KDNK bertumbuh secara sederhana di bawah sasaran ditetapkan, beberapa fenomena penting akan berlaku dalam ekonomi.

“Antaranya, deflasi, peningkatan dalam guna tenaga tidak penuh, pengurangan hasil kerajaan, penyusutan kuasa beli rakyat, prospek perniagaan dan pelaburan suram, peluang pekerjaan golongan muda serta pekerjaan berpendapatan tinggi terhad.

Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin

“Juga kos sara hidup semakin mencanak naik, peningkatan dalam fenomena miskin tua, peningkatan dalam kemiskinan pelbagai dimensi dan sistem perlindungan sosial semakin rapuh,” ujar beliau dalam artikel yang disiarkan MukaSepuluh Berita Harian, hari ini.

Mengupas maknanya keadaan itu kepada ekonomi negara, menurutnya, jika sasaran KDNK tahunan secara berterusan tidak dicapai, ia akan memberikan kesan negatif kepada trajektori pelan pembangunan ekonomi yang sudah dirancang dengan baik sebelum ini.

Beliau merujuk kepada Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Malah kupasnya, ia juga boleh menjejaskan sasaran pertumbuhan ekonomi disasarkan dalam kerangka Ekonomi Madani itu sendiri, iaitu sebanyak 6 peratus setahun secara purata.

“Semua ini akhirnya akan menjejaskan visi dan aspirasi keseluruhan naratif Ekonomi Madani itu, baik jangka pendek mahupun panjang,” ujar pensyarah Universiti Utara Malaysia itu.

Dr Irwan berkata, usaha mengeluarkan ekonomi Malaysia daripada kitaran ekonomi berbahaya, iaitu ‘kos tinggi, gaji rendah, keuntungan rendah dan kurang daya saing’ seperti ditetapkan dalam wawasan Ekonomi Madani akan terjejas.

Begitu juga ujarnya, usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, memandangkan ekonomi negara jiran sudah gagah menuju ke hadapan. Filipina misalnya, menyasarkan pertumbuhan ekonomi sekitar 6 hingga 7 peratus pada tahun ini.

Sasaran KDNK jelasnya, tidak dapat dicapai secara berterusan dari tahun ke tahun juga akan mengakibatkan kesukaran untuk mencapai tujuh penanda aras ditetapkan di bawah kerangka Ekonomi Madani.

“Natijahnya, ia akan terkesan juga kepada rakyat secara keseluruhan dengan keadaan kesenjangan pendapatan dan harta semakin melebar, masalah keterjaminan makanan tidak dapat diselesaikan, kualiti pendidikan semakin merudum, isu kesihatan mental serta kos sara sara hidup semakin meningkat.

“Ini ditambah lagi dengan masalah eksistensial seperti krisis dan perubahan iklim serta impak daripada ledakan teknologi, seperti kecerdasan buatan (AI) generatif yang dijangka menghapuskan banyak jenis pekerjaan yang ada kini dalam masa beberapa tahun sahaja.

“Nilai ringgit pula semakin melemah dan hutang negara semakin meningkat, manakala pasaran saham serta modal menjadi semakin tidak menentu. Pelabur luar pula semakin hilang keyakinan kepada prospek ekonomi kita berbanding ekonomi lain di rantau ini, sedangkan kita masih lagi terkapai-kapai untuk memulih daripada impak pandemik COVID-19.

“Ini ditambah dengan persediaan kita berdepan risiko geopolitik dan ekonomi global pada tahun ini, dengan prospek kegawatan sederhana di beberapa negara maju, masalah struktur ekonomi China, perang dagang Amerika Syarikat (AS)-China serta peperangan di Gaza dan Ukraine yang masih lagi berterusan.

“Jadi, sangat penting pada tahun ini, kerajaan melakukan reformasi ekonomi berbentuk jangka pendek, sederhana dan panjang secara serentak untuk memastikan ekonomi kita dapat bertumbuh bukan sahaja pada kadar disasarkan, bahkan mengatasinya,” ujar beliau.

Kerana menurutnya, beliau percaya ekonomi negara berkemampuan untuk bertumbuh melebihi 5 peratus jika strategi ekonomi berbentuk reformis dapat diperkenalkan dan dilaksanakan dengan efektif dan holistik dengan kadar segera.

Beliau dalam tulisannya itu menggariskan lapan reformasi ekonomi perlu dilaksanakan untuk mengelak Ekonomi Madani terjejas. – HARAKAHDAILY 7/2/2024




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo