Sultan Mizan (kiri) berkenan menerima menghadap Walid (kanan) di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu. Foto Facebook Dr Ahmad Samsuri |
KUALA TERENGGANU - Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dilaporkan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Sharqiyyah, Chendering, di sini.
Perkembangan itu dikongsikan menerusi hantaran di laman sosial rasmi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Jumaat.
Ahmad Samsuri berkongsi beberapa keping gambar dengan keterangan ringkas menunjukkan beliau mengiringi Walid ketika menghadap Baginda Sultan.
"Lensa ketika mengiringi Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menghadap KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu," tulisnya ringkas.
Selain itu, Ahmad Samsuri turut berkongsi gambar ketika menerima kunjungan Walid di Kediaman Rasmi Menteri Besar Terengganu, Seri Iman pada Khamis.
"Terima kasih atas kunjungan Walid Abu Ali bersama rombongan atas pertemuan bermakna pagi tadi.
"Timbul rasa pilu apabila mengenangkan keadaan saudara kita di sana, Walid turut menceritakan sedikit sebanyak tentang isu global yang sedang berlaku kini.
"Beliau (Walid) juga meluahkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menjadi sebahagian daripada kelompok yang mempertahankan dan menyumbang kepada rakyat di sana," tulisnya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyatakan harapan agar rakyat negara ini terus menyokong dan menyumbang berdasarkan kemampuan yang ada kepada rakyat Palestin yang kini ditindas.
"Teruskan berdoa dan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing sama ada dari segi kewangan, fizikal dan sebagainya.
"Semoga hubungan antara Malaysia dan Palestin dapat diperkukuhkan demi kebaikan kedua-dua pihak," ujarnya.
Sejak 7 Oktober lalu, Israel melakukan pengeboman besar-besaran dan serangan darat di wilayah terkepung itu menyebabkan lebih 28,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam telah terbunuh.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment